Agong serah watikah pelantikan Hakim Besar Malaya

Agong serah watikah pelantikan Hakim Besar Malaya

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed di Istana Negara, di sini.

Pelantikan Azahar yang berkuat kuasa hari ini dibuat selaras dengan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan bagi menggantikan Tan Sri Zaharah Ibrahim yang bersara pada 16 Mei lepas.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan yang berlangsung di Singgahsana Kecil istana tersebut turut dihadiri Ketua Hakim Negara Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Ahmad Maarop.

Azahar, 63, merupakan bekas Hakim Kanan Mahkamah Persekutuan dan berpengalaman luas dalam bidang kehakiman.

Beliau dilantik menjadi hakim Mahkamah Persekutuan pada 2014 dan mempunyai pengalaman selama tiga tahun selaku hakim Mahkamah Rayuan sejak 2011 hingga 2014.

Pemegang Ijazah Sarjana Undang-Undang dari London School of Economics and Political Science itu pernah dilantik menjadi hakim Mahkamah Tinggi sejak 2006 hingga 2011 selain Pesuruhjaya Kehakiman pada 2004.

Turut menerima Surat Cara Pelantikan selaku Hakim Mahkamah Persekutuan ialah Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli yang sebelum ini merupakan hakim Mahkamah Rayuan.

Selain itu empat hakim Mahkamah Tinggi turut dilantik sebagai hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Lee Swee Seng, Datuk Azizah Nawawi, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan P. Ravinthran.

Tujuh pesuruhjaya kehakiman dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi.

Mereka adalah Datuk Roslan Abu Bakar, Datuk Abdul Wahab Mohamed, Datuk Hassan Abdul Ghani, Chan Jit Li, Datuk Muhammad Jamil Hussin, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Datuk Khadijah Idris.

Kesemua mereka bakal mengangkat sumpah jawatan dan taat setia yang akan diadakan di Istana Kehakiman, Putrajaya petang ini.– BERNAMA