Malaysia Dateline

Agong tidak mahu jumpa, PH tunggu sidang Dewan Rakyat

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah membuat keputusan untuk tidak berjumpa dengan Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mahathir memberitahu demikian pada sidang media, di Yayasan Al-Bukhary di Kuala Lumpur, pagi ini.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, Pakatan Harapan (PH) gagal menyerahkan senarai sokongan 114 Ahli Parlimen.

“YDPA sudah membuat keputusan dan dia (Muhyiddin) angkat mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-8 pada jam 10.30 pagi nanti walaupun kita mempunyai majoriti.

“Saya tidak ada peluang untuk memberitahu Yang di-Pertuan Agong yang dia (Muhyiddin) tidak mempunyai majoriti dan tidak dapat berkomunikasi dengan istana,” katanya.

Beliau berkata, PH kini terpaksa menunggu sidang Dewan Rakyat akan datang untuk menunjukkan mereka mempunyai sokongan majoriti bagi membentuk kerajaan.

Menurutnya, peluang mereka untuk menguasai kerajaan kini semakin terhad apabila Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan, 10.30 pagi ini.

“PH akan terus berusaha memberitahu rakyat yang kami mempunyai majoriti sokongan Ahli Parlimen yang sepatutnya diberi peluang membentuk kerajaan dan menjadi Perdana Menteri,” tambah Mahathir lagi.