Malaysia Dateline

Agong tinjau banjir di ibu negara

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat meninjau situasi banjir di ibu kota malam tadi susulan hujan lebat.

Laman rasmi Facebook Istana Negara sebentar tadi berkata, Seri Paduka Baginda telah berkenan turun dari kenderaan di jalan susur menghala PWTC dan meredah air banjir bagi melihat sendiri situasi banjir di sekitar kawasan tersebut.

“Keberangkatan Seri Paduka Baginda bercemar duli adalah cerminan keperibadian tinggi dan kasih kepada rakyat baginda tanpa mengira tempat, masa dan cuaca,” kata Istana Negara lagi.

Beberapa kawasan di tengah Bandaraya Kuala Lumpur ditenggelami air susulan hujan lebat yang berterusan lebih 24 jam lalu.

Antara kawasan yang ditenggelami air adalah Jalan Raja di hadapan Gereja St Mary berdekatan Dataran Merdeka dan sekitar Jalan Sultan Ismail berhampiran persimpangan Hotel Renaissance.

Air Sungai Gombak dan Sungai Klang juga menunjukkan peningkatan dan hampir melimpah ke jalan utama di sekitar Jalan Raja Laut dan Jalan Kinabalu.