Malaysia Dateline

Agong titah Anwar, Mahiaddin menghadap selepas tiada yang peroleh sokongan majoriti

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perkenan menitahkan ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional menghadap susulan tiada mana-mana ahli Dewan Rakyat yang memperoleh majoriti mudah untuk menjadi perdana menteri.

Istana Negara dalam kenyataan berkata, Al Sultan telah menerima pemakluman berkenaan gabungan parti-parti politik pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi pembentukan kerajaan baharu daripada ketua parti-parti dan ketua gabungan parti-parti politik yang mempunyai jumlah kerusi Parlimen yang banyak susulan daripada keputusan PRU15.

Bagaimanapun setelah ahli-ahli Dewan Rakyat mempersembahkan sokongan mereka, Al Sultan mendapati tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai perdana menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara yang tersebut di atas.

“Lanjutan daripada penerimaan pencalonan nama Perdana Menteri tersebut, proses pengesahan calon Perdana Menteri yang memperoleh kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat telah dilaksanakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah.

“Memandangkan tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah, maka Seri Paduka Baginda menitah perkenan untuk ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) menghadap pada pukul 4.30 petang ini di Istana Negara

“Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin.