Malaysia Dateline

Agong titah MP tidak pertaruhkan masa depan rakyat demi agenda sendiri

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan agar kesemua Ahli-ahli Parlimen tidak mempertaruhkan masa depan negara dan rakyat Malaysia dalam percaturan mencapai agenda mereka.

Baginda bertitah, semua pihak perlu mengembalikan semula fokus pada usaha memerangi pandemik Covid-19 dan membawa sinar kepada rakyat serta negara.

“Lebih setahun berlalu, negara masih belum bebas dengan Covid-19. Negara dan rakyat beta sudah terlalu lama dibelenggu dengan masa hadapan kelam, bergelut dengan isu kesihatan dan juga kemurungan ekonomi.

“Terlalu ramai rakyat beta terkesan dengan penularan pandemik ini, dan terlalu ramai hilang sumber rezeki.

“Ratusan pucuk surat diterima dari rakyat beta yang merintih penuh duka seribu harapan, agar sinar perubahan dapat dikecapi dengan segera bagi meneruskan kehidupan harian.

“Nasihat beta kepada semua ahli berhormat, Jangan sama sekali meletakkan masa depan negara dan rakyat beta sebagai pertaruhan dalam mencapai agenda tertentu,” titahnya ketika istiadat pembukaan sidang Parlimen Penggal Keempat, Parlimen Ke-14 hari ini.