Malaysia Dateline

Agong titah penyatuan, perpaduan semua parti politik

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar seluruh Ahli Dewan Rakyat dapat bersatu hati mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti politik dengan memberi fokus kepada isu semasa dan menjernihkan kembali kekusutan yang berlaku.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Agong telah menitahkan bahawa sesiapa pun yang dilantik menerajui kepimpinan kerajaan Persekutuan hendaklah dipilih mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Al Sultan turut menzahirkan titah bahawa rakyat tidak wajar dibebani kemelut politik yang tidak berkesudahan dan pada masa yang sama negara bergelut dengan isu kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Kesepakatan dan kejujuran Ahli-ahli Dewan Rakyat sangat perlu bagi memastikan kemaslahatan dan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

“Ahli-ahli Dewan Rakyat perlu mempamerkan solidariti dengan meneruskan ikhtiar, memberikan komitmen yang tinggi dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” titah baginda dalam kenyataan Istana Negara hari ini.

Istana memaklumkan, sesi menghadap yang dianjurkan Al Sultan bersama Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semalam adalah bagi menyatakan pendirian untuk pembentukan kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri pada 16 Ogos lalu.

Sesi menghadap bersama ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama terdiri daripada Umno, DAP, PKR, Bersatu, Pas, AMANAH, Warisan dan Pejuang telah berlangsung lebih 90 minit bermula dari jam 2.30 petang.

Baginda Yang di-Pertuan Agong turut berkenan menerima menghadap secara maya pada jam 1.40 petang komponen-komponen parti Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Sementara itu, kenyataan Istana menekankan, surat akuan yang dipersembahkan kepada Agong bertujuan untuk membantu baginda membuat keputusan bagi melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Seri Paduka Baginda turut bertitah bahawa Perdana Menteri yang telah dilantik oleh baginda menurut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Dalam hal ini, baginda selanjutnya bertitah bahawa selaku Ketua Utama Negara, baginda akan cuba sedaya upaya untuk menyempurnakan tanggungjawab seorang
Raja Berperlembagaan berteraskan keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang.

“Seri Paduka Baginda akan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu bagi membincangkan isu-isu semasa yang dijadualkan pada 20 Ogos depan,” katanya lagi.