Malaysia Dateline

Agong titah perhalusi sebab pembatalan kemenangan Ziyad

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian atlet lontar peluru F20 negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, di Kejohanan Paralimpik Tokyo semalam walaupun kemenangan beliau meraih pingat emas dalam acara tersebut telah dibatalkan oleh penganjur.

Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar Muhammad Ziyad Zolkefli bersabar dengan ujian yang dihadapi dan tidak berpatah semangat serta berputus asa dengan isu pembatalan kemenangan beliau.

Dalam kenyataan, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar beliau terus berusaha serta kekal fokus untuk memburu kejayaan di kejohanan-kejohanan mendatang.

Seri Paduka Baginda berdua pada masa yang sama, turut menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian cemerlang beliau memecah rekod dunia milik beliau sendiri dengan lontaran sejauh 17.94 meter meskipun keputusan jawatankuasa rayuan tidak memihak kepada beliau dan negara.

Bagi Seri Paduka Baginda, Muhammad Ziyad Zolkefli telah memberi yang terbaik untuk diri beliau dan juga negara. Semoga semangat yang ditonjolkan oleh beliau dapat dijadikan teladan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Seri Paduka Baginda turut menyeru kepada pihak-pihak berkaitan untuk memperhalusi sebab pembatalan kemenangan Muhammad Ziyad Zolkefli ini agar ianya tidak berulang di masa hadapan.

Terdahulu, kemenangan atlet lontar peluru F20 negara, Muhammad Ziyad Zolkefli pada Paralimpik Tokyo dibatalkan berikutan menerima protes daripada kem Ukraine kerana dikatakan lambat memasuki ‘call room’ atau bilik persediaan atlet sebelum turun beraksi.

Berdasarkan laman web rasmi Paralimpik Tokyo, penyertaan Ziyad dibatalkan sekali gus menyaksikan peserta dari Ukraine, Maksym Koval yang sebelum ini menduduki tempat kedua, meraih pingat emas dengan catatan 17.34m sekali gus rekod baharu dunia.

Rayuan telah dibuat namun, Jawatankuasa Rayuan Olahraga Para Dunia hari ini menolak rayuan atlet negara itu untuk membatalkan keputusan final lontar peluru F20 pada Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Ziyad terlepas pingat emas acara berkenaan dan rayuan selanjutnya hanya boleh dibuat selepas temasya berakhir.