Malaysia Dateline

Agong titah semua ahli Parlimen beri sokongan Belanjawan 2021

Semua ahli Dewan Rakyat dinasihatkan untuk memberi sokongan kepada pembentangan Belanjawan 2021 demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar ahli Parlimen menghentikan segera segala perbalahan politik dan mengutamakan kebajikan rakyat supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda menegaskan, Belanjawan 2021 amat penting kepada kerajaan khususnya petugas barisan hadapan untuk meneruskan usaha membendung dan menangani ancaman wabak Covid-19 dari terus merebak.

“Adalah dimaklumkan, baginda Yang di-Pertuan Agong menasihati Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

“Al-Sultan Abdullah menyeru ahli-ahli Dewan Rakyat menghormati titah nasihat Seri Paduka Baginda untuk mereka memberhentikan segera perbalahan politik, sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan,” katanya dalam kenyataan Istana Negara kepada media, hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian selepas menerima mengadap Perdana Menteri untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara pagi ini.

Dalam sesi mengadap yang berlangsung lebih satu jam itu, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima taklimat ringkas berkenaan Belanjawan 2021 yang akan dibentang di Parlimen pada 6 November ini.