Malaysia Dateline

Agong titah sidang Parlimen sebelum 1 Ogos, kata Speaker

Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara memaklumkan, mereka telah dititahkan oleh Yang Dipertuan Agong agar sidang kedua-dua Dewan itu diadakan sebelum 1 Ogos 2021, iaitu tarikh tamat darurat.

Dalam kenyataan bersama Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun, mereka telah memaklumkan perkara ini kepada Perdana Menteri.

Kedua-dua mereka juga telah menyatakan komitmen dan kesediaan penuh Parlimen Malaysia untuk mengadakan persidangan Parlimen seperti yang dititahkan oleh Baginda Tuanku, kata mereka berdua.

Titah itu juga telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri dan mereka mencadangkan kepada Perdana Menteri agar satu persidangan khas diadakan sebelum 1 Ogos 2021 mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, kata kenyataan itu.

Hari ini, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin telah diserang cirit birit atau  diarea dan dimasukkan ke sebuah hospital di ibu negara.

Menurut jadualnya, Kabinet akan bermesyuarat setiap hari Rabu iaitu hari ini. Agenda sidang Parlimen dipercayai salah satu agenda dalam mesyuarat kali ini.

Semalam, Rais dan Azhar serta para timbalan mereka telah dititahkan menghadap Yang Dipertuan Agong.

Selepas sessi menghadap itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Rashid Hasnon memaklumkan kepada media baginda Yang Dipertuan Agong telah menitahkan mereka agar Parlimen bersidang segera.

Dalam kenyataan Istana Negara juga dimaklumkan Baginda menitahkan agar Parlimen bersidang segera.

Sebelum ini Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Parlimen, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan, Parlimen tidak akan bersidang semasa darurat berjalan.