Malaysia Dateline

Agong titahkan Parlimen bersidang segera

Yang Dipertuan Agong menitahkan agar Parlimen bersidang segera, kata satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Istana Negara hari ini.

“Setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi Kerajaan maka Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

“Ini untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat,” kata Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Datuk Pengelola Bijaya Diraja dalam kenyataannya selepas pertemuan baginda dengan Raja-raja Melayu petang ini.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar angka jangkitan wabak Covid-19 dapat dilandaikan dengan segera dan berpandangan vaksinasi merupakan satu-satunya “exit strategy” bagi mengawal penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa Kerajaan perlu bertindak tegas memudahkan birokrasi dan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat agar matlamat imuniti kelompok 80% (herd immunity) dapat dicapai seawal mungkin, kata kenyataan itu.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan pandangan bahawa perlu adanya pentadbiran Kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Seri Paduka Baginda amat menyedari tentang peranan Parlimen sebagai satu platform penting untuk wakil-wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak Covid-19.

“Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh berbincang berkenaan peruntukan perbelanjaan Kerajaan bagi membantu rakyat yang di dalam kesempitan dan bagi memulihkan semula ekonomi negara,” katanya.

Yang Dipertuan Agong bertemu dengan Sultan dan Raja-raja Melayu di Istana Negara petang tadi selepas santap bersama.

Turut dipanggil menghadap adalah pegawai-pegawai kanan kerajaan termasuk Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Pengerusi SPR dan lain-pain pihak lagi.

Mulai Rabu lepas, baginda menerima menghadap semua pemimpin utama parti politik negara termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan satu-satunya pemimpin parti yang belum diterima penubuhannya secara sah.