Malaysia Dateline

Agong tolak gaji lebih awal daripada saya, kata PM Anwar

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, terlebih dahulu tidak mengambil gaji iaitu sejak Covid-19 melanda negara.

Hal itu didedahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, di Putrajaya, hari ini.

Ahli Parlimen Tambun berkenaan berkata, Seri Paduka cakna dengan keadaan ekonomi yang menekan kehidupan rakyat.

“Saya nak maklumkan bahawa Tuanku Agong telah menolak gaji sejak Covid-19, lebih awal daripada saya. Baginda tidak menerima sebarang gaji oleh kerajaan sejak Covid-19.

“Saya ingat, eloklah kita beri penjelasan ini,” kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu lagi.

Sebelum ini, Anwar menetapkan pendirian untuk tidak menerima gaji bagi jawatan Perdana Menteri sebagai langkah memulihkan keyakinan rakyat terutama terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinannya.

Malah, Jemaah Menteri minggu lalu juga bersetuju untuk melaksanakan pemotongan gaji sebanyak 20 peratus setiap bulan atas tanda prihati dengan permasalahan dihadapi rakyat ketika ini.

Baca juga Anwar ibarat buku yang menarik untuk dibaca – Rakyat bangga ada PM bertaraf dunia