Malaysia Dateline

Agong ulangi pandangan sidang Parlimen perlu dibuat secepat mungkin

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah sekali lagi menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.

Ulangan pandangan Seri Paduka itu merupakan kali kedua bagi bulan ini selepas menyuarakannya sejurus sesi Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja Melayu selama hampir empat jam di Istana Negara pada 16 Jun lalu.

Pandangan Seri Paduka hari ini disampaikan ketika menerima menghadap Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Datuk Azhar Harun di Istana Negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata, pertemuan sejam itu adalah lanjutan daripada sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang dihadiri lapan Raja-Raja Melayu hampir dua minggu lalu.

“Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dengan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard Covid-19 yang ditetapkan oleh kerajaan dan Parlimen Malaysia.

“Ini bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat yang telah dikeluarkan dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di Facebook Istana Negara.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara Senator Mohamad Ali Mohamad kedua-dua Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon dan Azalina Othman Said.

Sebelum ini, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, Perlembagaan Persekutuan menetapkan Jemaah Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Sidang Parlimen.

Menurutnya dalam kenyataan pada 25 Jun lalu, menurut Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan, baginda hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

Walau bagaimanapun, kenyataan Idrus itu dibidas banyak pihak termasuk mengingatkannya bahawa beliau adalah penasihat kepada kerajaan Yang di-Pertuan Agong bukannya kerajaan Perdana Menteri Mahiddin Yassin.