Agong wira maruah, mitos DAP gugat Melayu

Agong wira maruah, mitos DAP gugat Melayu

Kongres Maruah Melayu 2019 yang diadakan di Shah Alam baru-baru telah menghasilkan respons yang bercampur-campur. Kongres Maruah Melayu itu pada asal naratifnya adalah untuk menunjukkan kepada orang ramai betapa maruah Melayu telah diinjak-injak oleh bangsa lain selepas jatuhnya kerajaan BN dan kemenangan PRU-14 oleh PH.

Mereka juga ingin menunjukkan bahawa kedudukan Melayu makin terancam apabila DAP menganggotai kabinet. Mereka mengharapkan kongres itu akan menjadi batu api yang akan melonjakkan pengaruh politik pembangkang khususnya pasca ‘taawun’ antara PAS dan UMNO. Politik perkauman yang dibawa oleh PAS dan UMNO ini akan menjadi lebih marak jika ada ucapan yang mengeji dan memburukkan bangsa lain.

Namun, naratif itu telah gagal gara-gara ucapan Tun Mahathir yang dianggap anti-klimaks. Tun Mahathir menyatakan bahawa kegagalan bangsa Melayu di Malaysia ini adalah akibat daripada sikap mereka sendiri yang berpecah-belah dan sekiranya terus bersikap sedemikian maka bangsa lain akan mengambil peluang itu. Tun Mahathir juga mengingatkan supaya bangsa Melayu mengubah sikap khususnya menceburkan diri dalam perniagaan dan keusahawanan.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan puluhan tahun dahulu juga tidak mencapai objektif yang ditetapkan kerana orang Melayu lebih cenderung untuk kerja makan gaji dan mengharapkan pencen di hari tua. Menurutnya lagi, acara seperti ini tidak sepatutnya dijadikan tempat untuk meminta sesuatu sebaliknya orang Melayu perlu memuhasabah diri mereka kerana maruah Melayu hanya akan pulih jika orang Melayu itu sendiri berubah.

Respon beberapa pemimpin politik dalam isu Kongres ini adalah bercampur-campur. Dato’ Seri Khalid Nordin, Naib Presiden UMNO mengatakan bahawa Kongres ini adalah ‘wayang politik’ Tun Mahathir yang berjaya menghimpunkan semua pemimpin dari segenap institusi politik negara bagi tujuan untuk menyokong Tun Mahathir. Beliau menyifatkan Kongres ini sebagai satu tindakan terdesak untuk menyekat kemaraan Muafakat Nasional UMNO-PAS.

Presiden NGO Gerakan Pembela Ummah pula menyifatkan ucapan Tun Mahathir itu sebagai mengecewakan dan menghina bangsa Melayu. Beliau selanjutnya menyatakan ucapan Tun Mahathir itu sebagai seolah-olah tidak menghormati barisan pemimpin politik Melayu yang datang melihat kebersamaan dalam jati diri dan perpaduan Melayu Islam demi bangsa Melayu, sebaliknya hanya merendahkan bangsa Melayu dengan menyatakan orang Melayu tidak mahu kerja keras, enggan kerja susah dan sebagainya.

Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS pula kelihatan gembira dapat hadir Kongres tersebut. Seusai program itu, beliau kelihatan bergegas naik ke pentas untuk bersama-sama dengan Tun Mahathir dan gambar beliau mengangkat tangan bersama Tun Mahathir telah tular di seluruh media sosial.

Dalam isu ini sewajarnya semua pihak insaf bahawa apa yang dikatakan oleh Tun Mahathir itu adalah satu kenyataan pahit yang harus diterima oleh bangsa Melayu. Bangsa Melayu adalah bangsa majoriti di Malaysia tetapi bagaimanakah bangsa yang majoriti ini boleh terpinggir berbanding dengan bangsa-bangsa lain. Apakah ianya kesilapan undang-undang dan perlembagaan atau kesilapan itu berada di tangan pelaksana polisi?

Dalam kata lain, pelaksana polisi itu atau pentadbir itu sendiri gagal untuk melaksanakan tugas mereka dengan baik. Atau, apakah kesilapan itu terletak di bahu bangsa Melayu itu sendiri yang gagal untuk mengambil kesempatan dan peluang yang diberikan oleh pelaksana polisi?
Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan secara jelas telah meletakkan dasar berkaitan keistimewaan bumiputra. Perkara 153(1) meletakkan tanggungjawab itu kepada YDPA untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.

Perkara 153 meletakkan tiga perkara yang menjamin kedudukan istimewa bumiputra ini iaitu kuota jawatan dalam perkhidmatan awam, danasiswa dan biasiswa, dan lesen serta permit.Oleh itu, kajian sepatutnya dibuat dalam ketiga-tiga aspek ini yang manakah menjadi isu atau wujudnya jurang sehingga menyebabkan orang Melayu terpinggir.

Dahulunya Dasar Ekonomi Baru telah dilancarkan pada tahun 1970 melalui Rancangan Malaysia Kedua. Matlamat utamanya ialah perpaduan negara selain bertujuan untuk menyusun semula ketidakseimbangan sosio-ekonomi yang wujud di Malaysia. Kajian pada masa itu mendapati bahawa ketegangan antara golongan yang kaya dan miskin adalah berpunca daripada isu kemiskinan. Pada masa itu, didapati bahawa orang Melayu lebih banyak menghadapi isu kemiskinan berbanding kaum lain dan tidak mampu bersaing dengan mereka.

Justeru, sebenarnya kerangka masa depan maruah Melayu menurut Perlembagaan adalah bergantung kepada YDPA yang sepatutnya membawa gagasan tentang bagaimanakah hala tuju orang Melayu. Untuk tujuan itu, YDPA boleh menitahkan kepada kerajaan untuk memberikan laporan secara tetap dan jika perlu ditubuhkan satu suruhanjaya khusus untuk menangani isu ini. Tidak ada gunanya untuk memperkenalkan dasar baharu jika perlaksanaannya tidak cekap.

Dalam kata lain, YDPA adalah adi atau wira dan pahlawan yang dapat menyelamatkan maruah dan masa depan Melayu. Justeru, kebimbangan sesetengah orang bahawa kedudukan Melayu tergugat dengan kewujudan DAP dalam kabinet adalah satu mitos yang patut dihapuskan.

 

*Artikel ini kali pertama terbit di akhbar Mingguan Amanah, Bil 171.