Malaysia Dateline

AGRA-LIRA desak kerajaan Msia- Indonesia sepakat bincang solusi provokasi penyokong bolasepak

Kerajaan Malaysia dan Indonesia didesak untuk duduk semeja dan berbincang sebaiknya mengenai solusi terbaik agar peristiwa perlawanan bola sepak antara dua negara berkenaan di Stadium Utama Gelora Bung Karno (SUGBK) tidak berlaku lagi.

Dalam satu kenyataan bersama antara Angkatan Gerak Minda Malaysia (AGRA) bersama rakan NGO di Indonesia, Lumbung Informasi Rakyat (LIRA) bersepakat menyeru semua rakyat Malaysia dan Indonesia menghentikan segala bentuk provokasi dan permusuhan antara Malaysia dan Indonesia kerana nyata kita adalah serumpun dan bersaudara.

“Peristiwa pergaduhan yang berlaku ketika perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Indonesia pada 5 September 2019 di SUGBK bukanlah pertama kali berlaku, malah berlarutan semenjak kira-kira 10 tahun lepas.

“Ia bermula dari provokasi beberapa ahli kumpulan yang melakukan demonstrasi di hadapan kedutaan Malaysia di Indonesia dan melaungkan kempen anti Malaysia. Semenjak itu, ancaman provokasi dan pergaduhan pasti ada setiap kali acara sukan antara Malaysia-Indonesia terutamanya perlawanan bola sepak dan kami (AGRA-LIRA) melihat perkembangan ini sesuatu yang tidak sihat,” ujar kenyataan itu hari ini.

Kenyataan bersama ini diwakili Timbalan Presiden Agra Juzaili Azmi, Wakil Presiden OKK dan Hukum Irham Maulidy dan Sekretariat Agra-LIRA di Kuala Lumpur dan Jakarta.

Ini susulan dalam kejadian pada 5 September lalu, aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Utama Gelora Bung Karno di Jakarta antara Indonesia dan Malaysia dicemari pergaduhan antara penyokong kedua-dua pasukan.

Insiden itu tercetus selepas perlawanan berakhir dengan Harimau Malaya menang 3-2.

Dilaporkan enyokong Indonesia yang berang dan kecewa dengan kekalahan skuad Garuda, bertindak menyerang penyokong Malaysia dengan merempuh kawasan tempat duduk mereka.

Menurut AGRA-LIRA lagi permohonan maaf yang dibuat Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia Imam Nahrawi sewaktu perjumpaan empat mata bersama Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atas peristiwa ini adalah permulaan yang baik.

“Kami berharap lebih banyak usaha-sama dilakukan pemimpin kedua-dua negara untuk menyatukan kembali keluarga besar Nusantara Malaysia-Indonesia,” kata kenyataan itu lagi.

AGRA – LIRA turut menyeru agar kedua kerajaan menjurus kepada satu bentuk perbincangan yang lebih konprehensif antaranya menyarankan seluruh penyokong Malaysia-Indonesia untuk melakukan langkah konkrit mewujudkan perdamaian antara penyokong kedua pasukan dengan semangat untuk memperbaiki diri demi kemajuan bola sepak kedua-dua negara.

“Keduanya menghentikan segala bentuk provokasi atas mana-mana pasukan lawan, menjaga nilai-nilai kekeluargaan, menjaga nama naik negara Malaysia-Indonesia dan mempromosikan perdamaian dengan penyokong lawan sama ada di stadium atau pun di media sosial.
“Ketiganya tidak menimbulkan kebencian dalam bentuk ucapan, tulisan atau pun ilustrasi, menyebarkan berita palsu serta mendukung usaha untuk mengakhiri sengketa dan kekerasan dalam mana-mana acara melibatkan kedua-dua negara.

“Keempat perlu bersikap terbuka dan menjunjung tinggi semangat kesukanan dalam menyokong pasukan masing-masing, seterusnya tidak mencampur-aduk sentimen politik dan mendukung keras usaha anti rasis dalam semua acara sukan.

“Dan kelimanya membuka lembaran baru dan memperkasakan hubungan Malaysia-Indonesia dalam agenda penyatuan bangsa Nusantara.

Sejarah membuktikan bahawa kita adalah serumpun yang kaya dengan budaya dan santun dalam peradaban bangsa Nusantara,” saran dua pertubuhan NGO itu lagi.