Malaysia Dateline

AGRA mahu halang Dong Zong khianati kepentingan negara

Angkatan Gerak Minda Malaysia (AGRA) mendesak Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) membatalkan kongres membantah pengenalan pembelajaran Jawi di sekolah vernakular.

Dalam kenyataannya, AGRA menyifatkan penganjuran kongres tersebut adalah satu tindakan yang jelas mengkhianati kepentingan negara.

“AGRA juga ingin menasihati Dong Zong supaya membatalkan kongres bantah tulisan jawi dengan serta-merta kerana kami tidak mahu Dong Zong dianggap sebagai pengkhianat,” kata AGRA.

Kongres itu, ujarnya, cukup jelas bercanggah dengan hal yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta 32: Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 serta dalam masa sama mencabar kedaulatan institusi Raja-Raja.

“Hal ini berikutan Ke-bawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong M, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah menyatakan pandangan baginda mengenai isu ini menerusi laman sosial ‘Twitter’ baginda sendiri.

“Baginda sendiri menitahkan bahawa Jawi bukan ‘Me-Melayukan bukan Melayu’ dan bukan ‘Meng-Islamkan orang bukan Islam’. Ia suatu seni tulisan identiti negara sebagaimana Cina dan Arab mempunyai seni tulisan mereka sendiri,” katanya.

AGRA turut menegaskan Dong Zong perlu beringat dan memgimbau kembali sejarah tanah air kerana Dong Zong pada hari ini tidak akan wujud tanpa toleransi berbilang kaum untuk bersama dan bersatu padu.

Sehubungan itu, AGRA memberitahu, pihaknya ingin menganjurkan sesi dialog atau forum bersama pihak Dong Zong dan badan-badan pendidikan nasional.

“Kami menyarankan inisiatif ini supaya dapat menyelesaikan isu tulisan Jawi melalui dialog dalam kadar segera untuk Dong Zong menerima Jawi sebagai kebudayaan nasional.

“Perbezaan pandangan yang timbul perlu diselesaikan melalui perbincangan rasional dan semangat toleransi bagi meningkatkan keharmonian dan perpaduan antara kaum demi kemakmuran dan kemajuan negara,”ujarnya.

Dalam masa sama, jelas AGRA, pihaknya akan berhimpun bersama beberapa gabungan yang sudah bersetuju untuk turut serta dalam desakan agar Dong Zong membatalkan kongres anti-nasional itu.

Tindakan tersebut, kata AGRA, sebagai manifestasi membantu pembatalan hasrat kongres tersebut, agar Dong Zong tidak terjerumus ke lembah kehinaan kerana tindakan yang mengkhianati negara melalui penentangan Dong Zong.

“Jika Dong Zong tetap berkeras dengan tindakannya untuk meneruskan kongres bantahan tulisan jawi ini, maka pihak Dong Zong perlu mengalu-alukan kedatangan AGRA yang tetap berhimpun dengan Dong Zong melibatkan AGRA dalam sesi dialog supaya tidak ada unsur gambaran khianat,” tegas AGRA lagi.