Agro Malaysia mahu tembusi pasaran halal Jepun

Agro Malaysia mahu tembusi pasaran halal Jepun

Olimpik 2020 di Tokyo akan dijadikan landasan bagi 300,000 anggota Agro Malaysia membuat perancangan mulai sekarang untuk menembusi pasaran halal di Jepun yang diyakini terus meningkat selepas temasya sukan itu.

Presiden Agro Malaysia, Datuk Seri G. Gnanaraja berkata, permintaan terhadap makanan halal pastinya tinggi semasa dan selepas Sukan Olimpik itu berikutan kemasukan pelancong beragama Islam.

Beliau berkata Expo Makanan Halal Malaysia (MHE 2019) yang berakhir semalam memberi peluang kepada anggota Agro Malaysia menambah maklumat dan menimba pengetahuan daripada usahawan lain untuk menembusi pasaran halal Jepun.

Agro Malaysia menjadikan ekspo yang bertemakan “Malaysia to Japan for 2020 Olympics” atau “Malaysia ke Jepun untuk Olimpik 2020”, yang berakhir semalam untuk memulakan usaha dengan lebih hebat agar semua usahawannya tidak terlepas peluang keemasan berniaga di negara matahari terbit itu.

Sukan Olimpik 2020 di Jepun menyasarkan kemasukan 40 juta pelancong, dengan sebahagian daripadanya pelancong beragama Islam.

“Saya akan memastikan usahawan Agro Malaysia tidak terlepas peluang keemasan menembusi pasaran halal di sana dan ekspo ini akan menjadi permulaan penerokaan pasaran halal yang lebih luas ke Jepun selepas ini. Dan ia dapat mengembangkan rangkaian usahawan kami terutama ke pasaran antarabangsa,”, katanya kepada Bernama selepas melawat gerai di hari terakhir ekspo itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam.

MHE 2019, katanya, adalah hasil kesinambungan memorandum kerjasama berkaitan halal Malaysia-Jepun yang dimerterai 26 Nov lepas.

“Agro Malaysia turut merebut peluang ini dari awal, bukan sahaja untuk membantu meningkatkan ekonomi negara, tetapi paling penting memperkasa usahawan bumiputera Islam Malaysia untuk membawa agenda ini ke peringkat dunia,” kata Gnanaraja.

Menurut Gnanaraja, produk makanan halal di Jepun kini sinonim dengan kebersihan serta gaya hidup sihat dan bukan semata-mata disebabkan faktor keagamaan.

“Jepun antara negara yang sentiasa mementingkan kebersihan dan gaya hidup sihat, persahabatan Malaysia-Jepun sangat erat, ini sangat signifikan untuk usahawan dan tentunya memudahkan kita menembusi pasaran halal negara itu,” katanya.

Menurutnya, banyak acara antarabangsa dijadual berlangsung di Jepun selepas Sukan Olimpik yang bakal menarik jutaan pelancong termasuk yang beragama Islam.

Mengikut statistik, Malaysia mengeksport makanan siap proses bernilai US$1.03 bilion (RM4 bilion) ke negara-negara Asia Timur pada 2017.

Jepun adalah destinasi eksport produk makanan siap proses kedua terbesar Malaysia bernilai US$249 juta (RM972 juta) selepas China bernilai US$391.6 juta (RM1.56 bilion), diikuti Hong Kong, Korea Selatan dan Taiwan.

— BERNAMA