Ahli akademik anggap komposisi kabinet tamatkan spekulasi rasis

Ahli akademik anggap komposisi kabinet tamatkan spekulasi rasis

 

Mohd Yusri Ibrahim

Pembentukan kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dilengkapkan melalui istiadat angkat sumpah di Istana Negara semalam, dilihat menamatkan kebimbangan oleh sebahagian rakyat bahawa kaum Cina akan mendominasi kerajaan jika PH menguasai kerajaan.

Pensyarah Universiti Malaysia Terengganu, Dr. Mohd Yusri Ibrahim berkata kabinet kerajaan ini memiliki perwakilan kaum mengikut perkadaran komposisi yang menyeluruh, adil dan munasabah.

“Sepanjang kempen PRU14, malah selepas BN jatuh kebimbangan terus diperbesarkan kerana kaum Cina sebulat suara cenderung memberi undi kepada PH melalui calon-calon DAP dan PKR.

“Manakala undi orang Melayu terpisah kepada tiga gabungan iaitu BN, PH dan PAS,” katanya melalui facebooknya semalam.

Kebimbangan ini katanya dijadikan strategi kempen oleh lawan PH bahawa orang Melayu akan hilang kuasa, kedudukan dan keistimewaan jika PH menguasai Putrajaya.

“Isu ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada segmen pengundi berteras Melayu Islam khususnya di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Pahang,” katanya.

Menggunakan data semasa penduduk Malaysia sekarang berjumlah 32 juta orang iaitu 68.8% Melayu/Bumiputra, 23.2% Cina, 7.0% India dan 1.0% lain-lain bangsa, beliau percaya susunan kabinet PH tidak meminggirkan sesiapa.

“Selepas majlis angkat sumpah menteri kabinet hari ini, kerajaan Malaysia memiliki 27 menteri (termasuk PM & TPM) dan 23 timbalan menteri.

“Daripada jumlah 27 orang menteri tersebut, 77.8% adalah Melayu/Bumiputra, 18.5% Cina, 7.4% India dan 3.7% lain-lain. Manakala daripada 23 timbalan menteri, Melayu/Bumiputra 65.2%, Cina 30.4% dan India 4.3%.

“Secara umumnya, kabinet kerajaan ini memiliki perwakilan kaum mengikut perkadaran komposisi yang menyeluruh, adil dan munasabah,” katanya.

Secara keseluruhan untuk jawatan menteri dan timbalan menteri katanya, kaum Melayu/Bumiputra yang memiliki pecahan 68.8% penduduk mempunyai 68% jawatan dalam kabinet, kaum Cina yang mewakili 23.2% komposi penduduk memiliki 24% jawatan kabinet, kaum India yang membentuk 7% penduduk ada 6% wakil, manakala bangsa lain yang membentuk 1% penduduk ada 2% kouta dalam kabinet.

“Sekarang masa untuk kita semua bekerja untuk membina Malaysia yang lebih baik untuk anak cucu kita, masa untuk redakan sebarang bentuk persengketaan dan perbalahan, apatah lagi yang dicetuskan melalui percikan dogma perkauman yang sempit dan merugikan.

“Saya adalah ahli akademik, perkiraan ini saya bangunkan berpandukan premis realiti, hikmah dan kebijaksanaan; tanpa bias kepada sebarang sentimen berkepentingan,” katanya.

9.7
OVERALL SCORE
: 9.0
2 user votes x 10.0
CATEGORIES
TAGS