Ahli akademik cabar Pakatan Harapan sediakan blueprint perumahan

Ahli akademik cabar Pakatan Harapan sediakan blueprint perumahan

Pakatan Harapan dicabar menyediakan pelan terperinci (blueprint) berkaitan perancangan perumahan rakyat yang mengambil kira empat keperluan utama iaitu utiliti, kemanusiaan, budaya dan pembinaan bangsa.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

(Dari kiri)Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Azan Safar selaku moderator diikuti  Azmi Hamid; Prof Dr Tajuddin Rasdi dan Dr Mazlan Ali. Pakatan Harapan dicabar menyediakan pelan terperinci (blueprint) berkaitan perancangan perumahan rakyat yang mengambil kira empat keperluan utama iaitu utiliti, kemanusiaan, budaya dan pembinaan bangsa.

Profesor Dr Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi berkata, pola pembangunan yang menjadi amalan pada masa ini banyak mengabaikan kesemua asas tersebut sehingga mengundang pelbagai masalah termasuk menjejaskan keselamatan dan keselesaan masyarakat.

“Kita selama ini tidak ada model pembangunan dan perumahan yang spesifik apa lagi bersifat manusiawi. Kalaulah Pakatan Harapan memerintah, mana blueprint pembangunan dan polisi baharu perumahan?

“Selain polisi tentang pendidikan, ekonomi dan lain-lain, tempoh dua tahun (sebelum pilihan raya) inilah masa untuk semua pihak duduk bersama wujudkan blueprint ini semua,” tegasnya dalam Seminar Nunji 2016 (Nunji ’16) Peringkat Wilayah Persekutuan bertemakan Fiqh Kotaraya di KIP Hotel, Taman Wahyu di ibu negara, semalam.

Berkongsikan kajiannya, Dr Tajuddin berkata, negara ini pernah mempunyai model rumah yang selesa untuk didiami dengan sistem pengudaraan yang baik dan ruang bersesuaian bagi kegunaan penghuni.

“Berek polis yang pernah dibina arkitek JKR (Jabatan Kerja Raya) tahun 1960-an dulu adalah tipologi rumah rakyat terbaik daripada aspek jemuran dan ruang simpanan, tapi sekarang (orang) JKR pun tidak tahu.

“Setiap unit ada stor di tingkat bawah. Rumahnya pula ada laluan angin masuk dan keluar. Tak perlu pakai aircond,” ujarnya dalam seminar anjuran Amanah Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Ansar Prihatin Malaysia (Ansar) itu.

Profesor Dr Mohamad Tajuddin Mohamad RasdiMenurut bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tersebut, asas kemanusiaan pula menitikberatkan keperluan ahli keluarga yang berkembang, fasa usia tua, orang kelainan upaya (OKU), wanita hamil dan kewujudan lif bagi akses terhad.

“Sekarang rumah kita macam parking kereta. Padahal, kita ada cara lain, boleh buat kluster, pecahkan fungsi, selerak dan campurkan antara kediaman, kedai dan surau. Ada fungsi seolah-olah ‘kamera’ sebab perompak lagi suka dengan pola unit kedai terasing di satu sudut manakala kediaman di sudut lain.

“Selain itu, pelan kediaman seperti di pangsapuri juga sepatutnya dapat mengelak kanak-kanak jatuh dari koridor. Perancangan perumahan juga mesti menghormati privasi visual dan bunyi selain ritual budaya manakala pusat komuniti yang mesra pengguna harus dibina bagi merangsang interaksi positif dalam kalangan komuniti setempat,” jelasnya.

Komuniti berpagar yang menjadi trend pada masa ini, ujar beliau, tidak perlu jika segala aspek berkaitan diberi perhatian kerana pelan pembangunan yang mengambil kira aspek keselamatan dapat menjamin privasi serta mengelak kemalangan, pencerobohan dan jenayah.

“Senibina harus ikut budaya bukan budaya ikut senibina. Jika hal ini diberi penekanan, kita sudah tidak perlukan komuniti berpagar lagi,” tambahnya.

Menjawab soalan tentang cara untuk rakyat mengatasi kenaikan harga rumah yang tidak munasabah mutakhir ini, Dr Tajuddin menyarankan satu cadangan radikal tetapi tidak mustahil boleh tercapai jika semua pihak mengambil peranan.

“Kalau nak kawal, ‘speculative buyer’ banyak tetap ada. Buat satu kempen, tak payah beli rumah untuk satu tahun sahaja, harga (rumah) akan turun,” ujarnya.

Turut terlibat dalam Nunji ’16 ialah Penasihat Umum Amanah, Ustaz Abdul Ghani Samsudin; Konsultan Syariah Telaga Biru Sdn Bhd, Fauwaz Fadzil; pensyarah UTM, Dr Mazlan Ali serta Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid.

TAGS