Malaysia Dateline

Ahli AMANAH dipohon lakukan Solat Hajat, berdoa ekoran kemelut politik negara

Penasihat Umum AMANAH, Datuk Seri Ahmad Awang memohon agar semua ahli AMANAH mengadakan Solat Hajat, berdoa dan beristighfar ekoran suasana kemelut politik negara yang semakin panas.

Beliau menasihatkan agar penyokong dan ahli Pakatan Harapan (PH) tidak menjadikan media sosial sebagai medan mengadu domba dan memecahbelahkan lagi gabungan itu.

Tegasnya, media sosial memainkan peranan yang penting dalam menentukan sama ada PH akan berjaya atau tidak mengharungi ujian ketika ini.

“Allah sedang menguji kita dengan satu ujian yang mencabar untuk melihat kejujuran, kesabaran serta semangat setiakawan antara kita.

“Janganlah kita menjadikan media sosial sebagai medan untuk mengadu domba dan memecahkan sesama kita.

“Dalam suasana kemelut politik yang hangat ketika ini, saya memohon kepada semua ahli AMANAH agar mengadakan Solat Hajat, berdoa serta beristighfar. Semoga negara dan PH dipandu oleh Allah agar keluar dari suasana yang kritikal ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau memohon semua ahli AMANAH supaya berdoa agar sentiasa dilindungi Allah dan memandu jari jemari agar menulis sesuatu untuk menyatukan, bukan untuk meruntuhkan perpaduan yang dibina selama ini.

Ahmad Awang berkata, ketika ini semua pihak perlu bertenang, mengenali siapa musuh siapa kawan dan sentiasa tabayyun apabila menerima sesuatu maklumat.

“Semoga segala usaha kita diberkati dan keluar dari suasana kritikal ini dengan kemenangan dan mendapat keredhaan Allah,” katanya lagi.

PH tumbang lewat Februari lalu selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa keluar Bersatu daripada gabungan kerajaan dan bekerjasama dengan bekas ahli PKR yang dipecat.

Bagaimanapun, Muhyiddin kini didakwa mendapat sokongan majoriti tipis di Dewan Rakyat dan sebarang perubahan sikap ahli parlimen boleh membawa kepada kejatuhan PN.

Usaha untuk mengembalikan mandat rakyat pula sedang dilakukan oleh Pakatan Harapan.

Namun PH Plus masih belum memutuskan mengenai calon Perdana Menteri selepas PKR menolak cadangan untuk mengangkat Mahathir sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Parti-parti politik juga sudah mula menjangkakan kemungkinan berlakunya pilihan raya mengejut (snap election) dalam tempoh terdekat.