Malaysia Dateline

Ahli AMANAH diseru tepati masa, salur sumbangan

Tirai hari terakhir Konvensyen Nasional AMANAH 2019 pagi ini dibuka dengan seruan agar ahli parti menepati masa dan menggiatkan aktiviti sumbangan dalam setiap pertemuan.

Timbalan Setiausaha Agung AMANAH, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus merangkap Setiausaha Agung berkata, disiplin masa menjadi teras parti yang harus sentiasa diamalkan.

“Sejak pelancaran parti 16 September 2015, kali perrama sidang media 2 Oktober hari Jumaat mula tepat 3 petang.

“Saya minta ke depan ini AMANAH menjadi parti yang berdisiplin dari segi masa. Kalau mula pukul 9 pagi, mula pukul 9. AMANAH mesti dikenali sebagai parti yang menepati masa,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam sesi ucapan penggulungan Jawatankuasa Pimpinan Nasional AMANAH di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam hari ini.

Dalam masa sama, Abang Ahmad Kerdee menyeru agar aktiviti infak atau menghulurkan sumbangan dibudayakan.

“Sejak jadi kerajaan, jarang kita mengumpulkan sumbangan infak. Saya minta ke depan ini setiap kali pertemuan agar diadakan infak.

“Kita mulakan dulu dari diri kita,” ujarnya lagi.

Beliau mengakhiri ucapan penggulungannya dengan puisi ‘Orang Besar Orang Kecil’ nukilan KH A Mustofa Bisri.

Antara petikan sajak itu:

“Orang besar boleh bicara semaunya
Orang kecil paling jauh dibicarakan saja.”

“Orang kecil jujur dibilang tolol
Orang besar tolol dibilang jujur

Orang kecil berani dikata kurangajar
Orang besar kurangajar dikata berani.”

“Orang kecil mempertahankan hak
disebut pembikin onar

Orang besar merampas hak
disebut pendekar.”

Si anak terus diam tak berkata-kata
Namun dalam dirinya bertanya-tanya:

“Anak kecil bisa menjadi besar
Tapi mungkinkah orang kecil

Menjadi orang besar?”
Besoknya entah sampai kapan
si anak terus mencoret-coret
dinding kalbunya sendiri:
“O r a n g k e c i l ? ? ?
O r a n g b e s a r ! ! !”

“Dalam AMANAH tiada orang besar, tiada orang besar. Yang ada hanya orang AMANAH,” ujarnya lagi selepas membacakan sajak tersebut.