Malaysia Dateline

Ahli AMANAH jangan cakap kosong, lalai berhibur, pesan Dr Mohamad Kamil

Pakar dalam bidang usuluddin dan pemikiran Islam, Dr Mohamad Kamil Abdul Majid mengingatkan berakhlak sebagai teras paling penting bagi kalangan ahli AMANAH.

Jelas Pengasas Yayasan Usuluddin Malaysia (YAUM) itu, akhlak adalah buah dari benih akidah yang betul dan syariah yang tepat.

Beliau yang menyertai AMANAH pada 5 September lalu berkata, tujuan Nabi dihantar untuk menjayakan dan menyempurnakan akhlak mulia.

“Akhlak mulia terpancar pada bercakap benar, tidak bercakap bohong. Apalagi mereka yang berstatus pemimpin pada semua peringkat.

“Buku-buku akhlak terdapat di dalamnya ajaran tentang adab dan etika malah ajaran tasawuf,” ujarnya.

Sehubungan itu, bekas profesor Universiti Malaya itu menasihatkan mereka yang menyertai AMANAH dan parti Islam lain memelihara hubungan baik dengan semua pihak.

“Mereka yang masuk AMANAH dan parti Islam lain hendaklah menjaga akhlak kita dengan Tuhan, sesama manusia hatta dengan binatang dan alam sekitar.

“Maka jangan dibudayakan cakap kosong, membuang waktu dan lalai dalam hiburan tetapi hidup ini perjuangan dan pengorbanan.

“Akhlak pada percakapan dan perbuatan. Tindakan dan organisasi sosial. Mari kita berakhlak mulia,” seru Dr Mohamad Kamil lagi.