Ahli Amanah umum sokong Calon BN bekas anggota PKR kecewa – SAMM

Ahli Amanah umum sokong Calon BN bekas anggota PKR kecewa – SAMM

Kumpulan yang mendakwa ahli Amanah dan mengumumkan menyokong calon BN Sungai Besar ialah “bekas ahli PKR yang kecewa”, kata kumpulan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Penyelaras SAMM Selangor, Azhar Achil berkata perkara itu tidak pelik kerana beliau sangat kenal dengan mereka yang terkenal sebagai individu bermasalah ketika dalam PKR.

“Yahya Arbi yang hadir dalam sidang media tersebut ialah bekas anggota PKR yang terlibat selaku “pegawai Jawatakuasa pemilihan parti 2014” yang penuh dengan penipuan yang mana beratus laporan penyelewengan telah dibakulsampahkan.

“Begitu juga watak Sapigni Tulus yang menjadi jurucakap sidang media tersebut. Bukan pelik, Sapigni pernah terlibat menubuhkan sebuah NGO menjelang PRU ke-13 dan semasa kempen saat akhir NGO ini mengisytiharkan diri menyokong BN,” kata Azhar dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, Yahya sebelum ini memberi alasan kononnya kecewa dengan pemilihan PKR kerana tidak mendapat habuan seperti dijanjikan dan menyertai Amanah sekaligus dilantik pengerusi penaja Amanah Sungai Besar.

Bagaimanapun kata Azhar, Yahya sekali lagi kecewa apabila tidak mendapat tempat dalam Mesyuarat Agung Pemilihan Amanah Sungai Besar yang pertama dan hanya berjaya menjadi pemeriksa kira-kira.

Angka pengikutnya yang didakwa lebih 30 orang itu juga kata Azhar, hanya rekaan semata-mata, sebaliknya jumlah sebenar mereka hanya beberapa orang yang muncul di televisyen pada sidang media itu sahaja.

“Kerana panik perkembangan Amanah mula diterima baik maka agen-agen perosak telah menggunakan taktik terdesak seperti kononnya ada ahli Amanah sokong calon BN,” kata Azhar lagi.

Semalam, Sapigni serta 31 ahli penaja Amanah dilaporkan sebulat suara menolak calon mereka, Ustaz Azhar kerana kecewa dan tidak berpuas hati dengan pimpinan tertinggi parti itu.

Sapigni turut menyeru pengundi di Sungai Besar supaya memilih Budiman sebagai pengganti Ustaz Azhar mahupun calon Pas, Dr Abdul Rani Othman.

COMMENTS

Wordpress (0)