Malaysia Dateline

Ahli AMANAH Wilayah Persekutuan buat laporan SPRM terhadap Annuar

Ketua AMANAH Bahagian Bandar Tun Razak, Hayatul Kamil Termudi membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berhubung dakwaan berkaitan pemberian sebidang tanah kerajaan kepada sebuah syarikat swasta.

Hayatul berkata, Ahli Parlimen Ketereh tersebut yang juga kini Menteri Komunikasi dan Multimedia mengeluarkan sepucuk surat sokongan kepada syarikat swasta terbabit.

Beliau juga mendakwa, salah seorang daripada pengarah syarikat berkenaan mempunyai hubungan saudara dan jiran kepada Annuar.

“Saya percaya Annuar menyalahguna kedudukan sebagai menteri dengan memberi surat sokongan,” katanya pada sidang media di pejabat SPRM hari ini.

Beliau berkata, syarikat terbabit tidak layak untuk memperoleh tanah berkeluasan 2.9 ekar di Lot 131, Jalan Peel, Kuala Lumpur itu kerana tidak “mempunyai modal yang baik” untuk melaksanakan sebarang projek di tapak tersebut.

“Syarikat swasta itu tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam pembangunan hartanah dan hanya mempunyai modal berbayar sebanyak RM100,” katanya.

Bagaimanapun Hayatul berkata, Annuar telah mengeluarkan satu lagi surat lain baru-baru ini yang menarik sokongan kepada syarikat itu selepas menerima kritikan daripada ahli politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa pihak berkepentingan lain.

“Saya bimbang sekiranya surat terbaharu itu dikeluarkan terlalu lewat dan syarikat telah pun diberi tanah terbabit,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Hayatul menggesa Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim untuk meneliti dakwaan tersebut.