Malaysia Dateline

Ahli Bersatu buat laporan sama kepada RoS halang pendaftaran PH, dakwa Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan tindakan ahli partinya yang membuat laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dengan maklumat yang sama dakwanya, sebagai usaha untuk menjatuhkan parti itu daripada dalam dan mengagalkan usaha mendaftarkan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu  berkata, terdapat sebanyak 400 aduan dibuat oleh ahli Bersatu terhadap Perhimpunan Agung Pertama (AGM) parti itu yang didakwa tidak menepati perlembagaan parti.

“Banyak laporan ahli PPBM yang tidak berpuashati dengan mesyuarat agung PPBM kononnya tidak sah dan mereka buat laporan kepada RoS.

“Kita hairan ada 400 ahli yang buat laporan sama dengan perkataan yang sama kepada RoS.

“Ini menunjukkan ada usaha untuk memberi alasan kepada RoS untuk tidak meluluskan permohonan Pakatan Harapan dengan aduan yang dibuat dikalangan ahli PPBM sendiri,” ujarnya dalam sidang media diadakan selepas mesyuarat mingguan Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.

Beliau merujuk kepada laporan media yang memetik kenyataan RoS pada 10 Januari lalu, yang memaklumkan terdapat 428 aduan terhadap Bersatu oleh ahli parti membabitkan isu Armada, pemecatan Exco, mesyuarat agung tahunan (AGM) dan rasa tidak puas hati ahli terhadap urus tadbir Bersatu antara aduan yang paling banyak diterima RoS.

Dr Mahathir yang juga  Pengerusi PH  turut  berkata, sekiranya RoS berpendapat AGM partinya tidak sah ini akan menyebabkan permohonan PH untuk didaftarkan secara rasmi akan terganggu.

“Jika RoS berpendapat mesyuarat tidak sah maka permohonan daftar Pakatan Harapan akan terganggu .

“Nampaknya ada satu usaha daripada pihak mana…itu saya tidak tahu, untuk memastikan RoS tidak meluluskan permohonan PH,” ujarnya.

Katanya sehingga kini RoS masih lagi tidak memberikan sebarang jawaban kepada pendaftaran PH.

“Kita ada jumpa Ros… tiada masalah dengan DAP dan PPBM. DAP dah selesai dan tidak dapat apa-apa surat pun, maka kelulusan tidak diberikan kepada penubuhan Pakatan Harapan.

“Ini salah satu cara BN untuk menang pilihan raya dengan menganggu undi Pakatan Harapan,” ujarnya.