Ahli Bersatu diingat jangan guna kemewahan ketika berkempen

Ahli Bersatu diingat jangan guna kemewahan ketika berkempen

Calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang akan bertanding diingatkan untuk tidak menggunakan kemewahan, rasuah, politik wang dan salah guna kuasa sepanjang tempoh berkempen.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar menegaskan bahawa calon juga tidak dibenarkan menaja sebarang pakej umrah dan pelancongan untuk meraih dan membeli undi.

“Kita nak pastikan calon patuh pada peraturan dan etika yang ditetapkan. Paling penting reputasi Bersatu dijaga dengan baik. Masa pemilihan juga ahli tak boleh bayar (taja) pergi Umrah, bercuti, melancong atau hanya ke tempat yang dekat.

“Walau bagaimanapun, individu yang nak berkempen, nak bawa ke kedai mamak sambil minum teh, saya rasa kita boleh, namun pastikan berkempen sejajar dengan amalan demokrasi.

“Tetapi jangan amalkan kemewahan, rasuah dan politik wang termasuk salah guna kuasa. Kita tak mahu ada yang guna wang untuk pengaruh ahli lain demi mendapatkan undi,” tegasnya dalam sidang media di Ibu Pejabat Bersatu, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, sekiranya terdapat aduan terhadap calon yang melanggar etika berkempen, tindakan tegas akan diambil di mana individu yang dilaporkan akan dibuang dari senarai pencalonan.

“Kalau ada aduan terhadap calon dan aduan tersebut munasabah, kita boleh tolak pencalonan di mana ahli itu akan diketepikan dari bertanding. Saya harap semua patuh,” katanya.

Terdahulu, Syed Hamid memaklumkan pencalonan bagi pemilihan parti akan bermula 26 Januari, disusuli mesyuarat peringkat cawangan mulai 29 Mac manakala mesyuarat di peringkat bahagian pada 18 April.

Jumlah bahagian yang layak bersidang sebanyak 189 manakala jumlah ahli yang layak mengambil bahagian dalam persidangan 363,167.

Sewaktu mesyuarat cawangan akan diadakan pemilihan barisan jawatankuasa peringkat cawangan dan bahagian termasuk sayap Srikandi dan Armada.

Persidangan bahagian pula akan memilih Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), iaitu barisan kepemimpinan parti peringkat pusat. Persidangan Srikandi dan Armada Bahagian pula perlu diadakan sebelum persidangan bahagian dan ia akan memilih Jawatankuasa Srikandi dan Jawatankuasa Armada pusat.