Ahli bidas Pengerusi PAC rahsiakan surat Bank Negara

Ahli bidas Pengerusi PAC rahsiakan surat Bank Negara


 
Tindakan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) merahsiakan surat yang diterima daripada Bank Negara dan meminda laporan PAC berdasarkan maklumat yang terkandung dalam surat itu tidak disenangi anggota-anggota yang mewakili pembangkang.

Tindakan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) merahsiakan surat yang diterima daripada Bank Negara dan meminda laporan PAC berdasarkan maklumat yang terkandung dalam surat itu tidak disenangi anggota-anggota yang mewakili pembangkang.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Timbalan Pengerusi PAC yang juga Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw, Ahli Parlimen Teluk Kemang Datuk Kamarul Baharin, Ahli Palimen Selayang William Leong, Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua mengaku tidak diberitahu tentang surat Bank Negara Malaysia bertarikh 6 April lalu.

“Kami amat terkejut apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Azalina Othman menjawab dalam parlimen bahawa Pengerusi PAC telah menerima sepucuk surat daripada Timbalan Gabenor Bank Negara bertarikh 6 April 2016.  

“Kami tidak pernah dimaklum oleh Pengerusi PAC sebelum ini mengenai surat tersebut,” tegas mereka.
 
Menurut Azalina, surat itu dijadikan alasan oleh Pengerusi PAC Datuk Hasan Ariffin untuk meminda Laporan PAC walaupun ia telah diluluskan oleh mesyuarat PAC pada 4 April sebelumnya.  

“Oleh sebab itu, ayat-ayat yang menyebut bahawa Bank Negara telah mengesahkan bahawa syarikat Good Star Limited adalah dimiliki oleh seorang individu yang tiada kaitan dengan Petrosaudi International Limited telah dipotong daripada Laporan PAC tanpa sebarang rundingan dengan ahli-ahli PAC,” kenyataan media itu dipetik.
 
Sehubungan itu, anggota PAC pembangkang telah meminta Hasan menunjukkan surat Timbalan Gabenor Bank Negara itu kepada semua anggota PAC dalam mesyuarat semalam namun Hasan yang juga Ahli Parlimen Rompin enggan berbuat demikian.
 
“Sekali lagi, kami terkejut apabila Datuk Hasan enggan menunjukkan surat tersebut kepada ahli-ahli jawatankuasa walaupun surat tersebut telah ditulis kepada Pengerusi PAC bagi pihak seluruh jawatankuasa.
 
“Surat bertarikh 6hb April tersebut adalah balasan kepada soalan-soalan yang telah dibangkitkan oleh pihak PAC pada 4hb April dan diputuskan supaya Pengerusi menulis kepada Bank Negara untuk mendapat penjelasan lanjut,” kenyataan media itu dipetik.
 
Menurut mereka, keengganan Hasan untuk mendedahkan kandungan surat Bank Negara kepada anggota PAC pertama kali berlaku dan disifatkan sebagai satu penghinaan kepada ahli-ahli PAC yang dilantik Parlimen.
 
Tindakan Hasan ini juga, jelas mereka telah membangkitkan perasaan curiga terhadap beliau yang dikhuatiri sengaja menyembunyikan maklumat-maklumat penting berhubung penyelewengan 1MDB dan Good Star Limited.
 
“Kami meminta supaya kalau benar-benar tiada ‘cover up’ berlaku, surat tersebut yang merupakan satu dokumen yang perlu dinilai oleh PAC mesti ditunjuk kepada ahli-ahli jawatankuasa dengan serta-merta,” ujar mereka.

TAGS