Ahli bina badan popular maut, leher patah dihempap ‘barbell’ seberat 210KG ketika bersenam

Oleh KIM SYAZIE

Seorang ahli bina badan dilaporkan maut selepas alat senaman ‘barbell’ yang diangkatnya terjatuh lalu menghempap tulang leher.

Berdepan dengan detik cemas, mangsa yang mengalami kecederaan patah tulang leher itu maut selepas menerima rawatan di hospital.

Ketika kejadian, mangsa iaitu Justyn Vicky sedang melakukan rutin senaman yang sering dilakukannya sebelum ini.

Sambil diperhatikan pelatih, Vicky cuba melakukan senaman ‘squat-press’ sambil meletakkan barbell seberat 210 kilogram (kg) di bahunya.

Lelaki yang berusia 33 itu bagaimanapun gagal berdiri tegak selepas melakukan ‘squat’ kerana tidak mampu menampung berat barbell tersebut.

Hilang keseimbangan, Vicky bersama pelatihnya kemudian terjatuh dalam posisi terduduk sebelum barbell berkenaan menghempap lehernya.

Vicky yang segera dikejarkan ke hospital itu malangnya disahkan meninggal dunia selepas menjalani pembedahan kecemasan, lapor New York Post.

Kejadian yang berlaku di gimnasium The Paradise Bali, Indonesia itu telah mengakibatkan mampatan pada saraf ke jantung dan penafasan Vicky.

Kejadian yang mendebarkan itu sempat dirakam dan tersebar luas di pelbagai platform media sosial terutamanya TikTok.

Mempunyai ramai pengikut, Vicky yang bekerja sebagai pelatih kecergasan itu juga merupakan seorang selebriti media sosial.

Baca juga: Mak nyah kembali kepada fitrah, sah jadi suami bekas pengkid dengan 5 kali lafaz