Ahli bomba mangsa keganasan rusuhan di kuil dipindah ke IJN

Ahli bomba mangsa keganasan rusuhan di kuil dipindah ke IJN

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang cedera parah akibat diserang kumpulan perusuh ganas yang berhimpun di sekitar Kuil Maha Mariamman, USJ 25, Putra Height awal pagi semalam, dibawa ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut malam tadi.

Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang sebelum itu dirawat di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) dibawa dengan ambulans dengan diiringi tiga kereta dan dua motosikal pengiring polis pada pukul 11.33 malam.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin memberitahu perkembangan tersebut pada sidang media sebelum itu.

Menurut Ahli Parlimen Ampang berkenaan, keputusan itu diambil selepas perbincangan dibuat dengan pakar-pakar dari IJN kerana mempunyai peralatan yang baik untuk merawat mangsa.

“Doktor-doktor sudah bincang dengan pakar IJN dan sudah melihat keadaan mangsa. Mereka membuat keputusan untuk memindahkan Adib ke IJN malam ini.

“Di sana, Muhammad Adib akan diberi bantuan menggunakan satu mesin yang boleh membantu membawa masuk oksigen ke dalam paru-parunya.

“Mesin tersebut hanya satu sahaja di dalam negara ini,” katanya kepada pemberita di SJMC sambil memberitahu keadaan mangsa sudah semakin baik berbanding tengah hari semalam.

Terdahulu, mangsa keganasan rusuhan di kuil itu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) SJMC di bawah pengawasan lima doktor pakar.

Loading...

Adib bergantung kepada sistem sokongan hayat dan keadaannya di tahap kritikal dengan hampir keseluruhan badannya terutama bahagian dada lebam.

Beliau juga dilaporkan semalam sukar bernafas akibat tulang rusuknya patah selain mengalami beberapa kecederaan dalaman.

Bacaan tekanan darahnya ketika itu juga kekal pada paras rendah seperti turut dimaklumkan Zuraida dalam lawatannya semalam.

Adib yang dijadualkan melangsungkan perkahwinan 21 Disember depan mulanya ditarik keluar dan diheret oleh perusuh dari tempat duduk bahagian penumpang hadapan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Beliau kemudiannya diselamatkan beberapa orang awam yang berada di lokasi kejadian.