Ahli dan pimpinan AMANAH dinasihat jaga imej parti menjelang pilihan raya

Ahli dan pimpinan AMANAH dinasihat jaga imej parti menjelang pilihan raya

Semua pimpinan dan ahli Parti AMANAH Negara (AMANAH) dinasihati menjaga nama baik parti daripada sebarang konflik dalaman dan luaran parti dan dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agung AMANAH Mohd Anuar Tahir berkata, parti tidak teragak-agak untuk mengambil sebarang tindakan tatatertib terhadap ahli yang melanggar perlembagaan parti atau memburukkan nama baik parti menjelangnya penamaan calon, berkempen dan hari pengundian.

“Kita tahu kadangkala ada ahli dan pemimpin yang obses dalam menghadapi pilihan raya ini tanpa menyedari tindakannya itu boleh mendatangkan kerosakan terhadap nama baik parti dan mengeruhkan hubungan sesama rakan gabungan Pakatan Harapan.

“Saya ingin mengingatkan ahli dan pimpinan parti bertindak penuh berhemah menjelangnya pilihan raya ini.

“Ini kerana sejak AMANAH ditubuhkan tiga tahun lalu, nama baik parti tidak lagi tercemar dengan tindak tanduk ahli dan pemimpinnya.

“Oleh itu mana-mana ahli, apapun jawatan mereka jika melanggar tatatertib dalam perlembagaan parti atau memburukkan nama parti kita akanmengambil tindakan segera sekiranya kita menerima aduan.

“Kita tidak teragak-agak untuk memberi amaran, mengantung atau memecat ahli yang didapati menjatuhkan imej parti,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

AMANAH dijangka akan mengumumkan secara rasmi  calon bagi 27 kerusi Parlimen dan 113 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun)  yang akan dibuat pengumuman rasmi di Negeri Selangor dalam waktu terdekat ini.

Justeru beliau menegaskan kepada mana-mana ahli dan pimpinan yang tidak disenaraikan sebagai calon untuk menerima keputusan pucuk pimpinan parti dengan hati terbuka.

” Jika ada yang tidak dapat jadi calon, kita mengharapkan mereka menerima dengan berlapang dada.

“Kita tidak mahu hanya perkara kecil ini (tidak terpilih calon) akan digunakan oleh Umno-BN untuk memburukkan kesepaduan AMANAH dan Pakatan Harapan,” ujarnya.

Ditanya mengenai konflik yang berlaku membabitkna ahli Bersatu yang baharu masuk AMANAH dipilih sebagai calon bertanding mewakili parti di Parlimen Sik, sekaligus mengenepikan Ketua AMANAH Sik Sulaiman Ibrahim yang disebut-sebut sebagai calon.

Anuar menjelaskan sidang media yang dirancang itu oleh AMANAH Kawasan Sik untuk memprotes keputusan pimpinan tidak direstui oleh pimpinan AMANAH pusat.

“Kadangkala ada ahli kita yang ada keinginan sendiri tidak sedar hingga nak buat sidang media kerana tak puashati.

“Kita nasihatkan beliau agar tidak membawa ketidakpuasan hati mereka kepada makluman media kerana ini akan burukkan nama parti.

“Kami nak ingatkan kepada semua ahli, jangan fikir kita beri ruang dengar semua pandangan, mereka ikut suka hati untuk lakukan sesuatu tanpa berbincang dengan kepimpinan, kita tidak mahu berlaku sedemikian.

“Alhamdulilah setelah presiden sendiri (Mohamad Sabu) turun untuk berbincang, mereka akhirnya membatalkan sidang media tersebut.

“Saya sebagai setiausaha agung ingin ucapkan terima kasih kepada semua pihak di kawasan Sik kerana memahami perkara ini.

“Kepada ketua amanah Sik (Sulaiman) yang sedia berlapang dada dan mendengar permintaan pimpinan, ini menunjukkan contoh yang baik.

“Ini juga menunjukkan kita boleh urus krisis dengan bijaksana. Hati boleh panas tetapi kepala kena dingin.

“Kita nak ucapkan tahniah kepada AMANAH Negeri Kedah kerana sikap berlapang dada,” ujarnya.

7.0
OVERALL SCORE
: 7.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS