Malaysia Dateline

Ahli jangan terikut propaganda pembangkang, perlekeh menteri

Setakat ini, dua Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional mempertahankan Menteri Pembangunan dan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berhubung ‘kereta terbang’ yang menjadi isu perbahasan para perwakilan semalam.

Isu tersebut mendapat perhatian Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad dan Ahli Parlimen Lumut, Dr Hatta Ramli dalam ucapan penggulungan pada hari terakhir Konvensyen hari ini.

Khalid berkata, ahli perwakilan tidak seharusnya terpengaruh dengan propaganda Barisan Nasional (BN) yang menggembar gembur isu kereta terbang tersebut.

Suasana sewaktu sesi ucapan penggulungan berlangsung.

Beliau berkata, sikap pembangkang tidak lagi boleh diamalkan dalam pentadbiran kerajaan hari ini dengan sikap memperlekeh menteri-menteri.

“Kita kena ubah jangan lagi sebagai pembangkang. Kita kena faham kenapa tak buat satu perkara itu dan kita sampaikan kepada rakyat.

Khalid Samad berucap pada sesi penggulungan.

“Kereta terbang memanglah silap. Tapi sudah dibetulkan yang sebenarnya dia rujuk kepada Drone. Pembangkang sahaja yang masih sebut pasal kereta terbang. Jangan kita bawa benda yang BN bawa. BN bangkit isu sama, kita pun terikut.

“Kita jangan ikut sekali gelakkan dia. Ada kata guna pendekatan ‘M.I.C, maintain, improve, change’. Dia (BN) bagi Brim, kita pun nak bagi juga. Itu tak bertanggungjawab sebab dia guna hutang dan menambahkan lagi hutang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi ucapan penggulungan Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, semasa Majlis Konvensyen Nasional 2019 AMANAH, di Pusat Konvensyen Ideal Centre (IDCC), hari ini.

Sementara itu, Dr Hatta dalam ucapannya menegur setiap perwakilan agar tidak terpedaya dengan penyebaran fitnah pihak pembangkang terutama di media-media sosial.

“Kita jangan termakan dengan sosial media yang menghina dan kemudian kita terpedaya.

“Mereka memang nak jatuhkan kerajaan, tapi kita pula beria tolong viral. Hancur kita macam ni. Mana-mana berita fitnah, kita tolak dulu. Jangan terima,” katanya.