Malaysia Dateline

Ahli Jemaah Menteri tinggalkan kediaman Muhyiddin

Mulai jam 10 malam tadi, beberapa ahli Jemaah Menteri dilapor meninggalkan kediaman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara.

Mereka sebelum itu menghadiri pertemuan dengan Muhyiddin kira-kira jam 8 malam selepas keputusan Mesyuarat Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, petang tadi yang menolak permohonan untuk melaksanakan darurat.

Antara yang hadir Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri di JPM (Tugas-tugas Khas) dan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Selain itu, Menteri di JPM (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan dan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri juga hadir.

Turut hadir Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.