Malaysia Dateline

Ahli jemaah Tabligh Perlis diseru buat pemeriksaan Covid-19

Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin menyeru ahli-ahli Tabligh di Perlis supaya segera membuat pemeriksaan kesihatan berkaitan wabak Covid-19.

Kata Ustaz Zolkharnain, beliau dimaklumkan daripada hampir 150 ahli jemaah Tabligh Perlis yang menyertai Ijtimak Tabligh di Seri Petaling pada hujung bulan lalu, tidak sampai 10 peratus yang tampil melakukan pemeriksaan.

“Harapan saya, kawan-kawan Tabligh saya di Perlis yang belum merujuk diri kepada klinik kesihatan untuk pemeriksaan Covid 19, segeralah tampil buat pemeriksaan.

“Tolonglah kawan-kawan. Setiap seorang pembawa virus berpotensi merebakkannya kepada 25 orang lain (maaf jika silap). Saya cuma nak gambarkan, bahayanya wabak ini,” tulis beliau dalam facebooknya.

Kata beliau, berserah kepada Allah tanpa usaha tidak dipanggil tawakkal, tetapi ia dipanggil degil dan sombong.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat 41 kes jangkitan terbaru Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 238 kes direkodkan di negara ini.