Malaysia Dateline

Ahli Lembaga Pelawat Hospital Daro adakan Kunjungan Kasih Krismas

Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) Daro telah mengadakan Program Kunjungan Kasih di wad-wad hospital Daro, Sarawak bersempena dengan sambutan Hari Natal semalam.

Menurut Pengerusinya Bolhassan Jol, ia adalah antara aktiviti yang dirancangkan bagi menyambut Hari Krismas di sini.

Katanya, dalam kunjungan tersebut pihaknya telah menyampaikan sumbangan berupa hamper kepada para pesakit yang tidak dapat balik sempena Krismas baru-baru ini.

“Kami ALPH Daro amat teruja dengan lawatan ini memandangkan terdapat pesakit yang tidak dapat balik menyambut perayaan Krismas.

“Oleh demikian, kami telah mengadakan Program Kunjungan Kasih kepada pesakit-pesakit berkenaan dan sekurang-kurangnya mampu berkongsi kegembiraan bersama mereka,” ujar beliau.

Menurut Bolhassan, kebanyakkan pesakit yang tidak dapat balik adalah kerana rawatan terpaksa dilakukan setiap masa di samping keadaan kampung yang jauh daripada hospital.

Jelasnya lagi, walaupun terpaksa menyambut perayaan di dalam wad, namun mereka nampak ceria dan gembira apabila dikunjungi pegawai-pegawai daripada ALPH.

“Dalam lawatan ini, kami sempat bertukar-tukar cerita serta memberi motivasi sebagai seorang pesakit.

“Ternyata mereka kelihatan ceria apabila menerima kunjungan kami, malah sempat bertanya khabar dan keadaan diri masing-masing,” tambah beliau.

Sehubungan itu, katanya program berkenaan akan terus diadakan pada sambutan perayaan lain seperti Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai.

“In shaa Allah…kita akan meneruskan program seperti ini pada sambutan perayaan lain akan datang,” ujarnya lagi.