Malaysia Dateline

Ahli Lembaga Pelawat Hospital Daro akan teruskan Program Ziarah

Program menziarahi pesakit di hospital akan terus menjadi agenda utama yang akan diteruskan sepanjang tahun ini oleh Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH)Daro, Sibu.

Menurut Pengerusinya, Bolhassan Jol, ALPH merupakan sebuah badan sokongan di Hospital Daro sekali gus akan memainkan peranan yang aktif berkaitan program-program kebajikan.

Katanya, antara program dan aktiviti yang dianjukan ialah menyampaikan sumbangan barangan keperluan wad seperti bantal, rak dan lain-lain khususnya untuk kegunaan wad kanak-kanak dan pesakit luar.

“In shaa Allah…program menziarahi pesakit di Hospital Daro ini akan menjadi keutamaan yang akan diteruskan sepanjang tahun 2020.

“Ini adalah ALPH merupakan sebuah badan sokongan yang membantu pihak hospital menerusi aktiviti-aktiviti berkaitan kebajikan,” ujar beliau.

Pada masa sama, Bolhassan menjelaskan ALPH Daro akan bekerjasama dengan pihak Jabatan Penerangan, Jabatan Pendidikan dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) yang akan dilantik kelak bagi memaklumkan kepada penduduk dan masyarakat berkenaan inisiatif bidang kesihatan yang telah dilaksanakan kerajaan.

Dalam pada itu, beliau turut menyokong usaha kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia berkaitan pemberian vaksin pnemucoccal yang diberikan secara percuma mulai 1 Januari 2020 lalu kepada semua bayi di negara ini.

“Jika dibandingkan di klinik atau hospital swasta, vaksin ini bernilai antara RM150 hingga RM250 sekali suntikan.

Tambahnya, penyakit pneumococcal adalah disebabkan oleh bakteria dikenali sebagai ‘streptococcus pneumoniae’ yang boleh menyebabkan pelbagai jenis jangkitan yang serius dan sering berlaku di kalangan golongan muda, warga emas dan mereka yang mengalami keadaan perubatan kronik.

” Saya menyokong dengan usaha kerajaan dalam membantu dan memberi perkhidmatan terbaik demi untuk kesihatan rakyat di negara ini lebih-lebih lagi kepada kami yang tinggal di pedalaman Sarawak,” katanya.