Ahli Lembaga Pelawat untuk Pusat Pelupusan Sampah perlu ditubuhkan seluruh negara

Ahli Lembaga Pelawat untuk Pusat Pelupusan Sampah perlu ditubuhkan seluruh negara

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu membentuk Ahli Lembaga Pelawat untuk Pusat Pelupusan Sampah di seluruh negara, saran Ketua Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Johor, Ir Khairuddin A Rahim.

Beliau berkata, Ahli Lembaga Pelawat itu berperanan untuk menjadi penghubung antara setiap operator pusat pelupusan dan komuniti setempat.

“Peranan yang akan dimainkan oleh Ahli Lembaga ini adalah berkenaan dengan perhubungan awam yang positif dengan memberi penerangan yang jelas kepada orang awam mengenai kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak pusat pelupusan serta masalah yang dihadapi mereka.

Ir Khairuddin A Rahim

“Selain itu Lembaga ini akan menjadi penghubung bagi pihak operator pusat pelupusan untuk mendengar permasalahan yang dialami oleh masyarakat sekeliling berkenaan dengan pusat pelupusan serta permasalahan tersebut dapat diselesaikan dengan kadar segera.

“Selain itu peranan Ahli Lembaga juga dapat diterjemahkan dengan lawatan secara berkala ke pusat pelupusan serta mendapat maklum mengenai perkhidmatan yang diberikan.

“Antara lain lawatan tersebut dapat menilai sejauh mana permasalahan yang telah diselesaikan oleh pusat pelupusan serta Ahli Lembaga juga disaran untuk diberikan kuasa menegur dan menyediakan laporan selepas setiap lawatan serta membincangkan dalam mesyuarat Ahli Lembaga berkenaan kepatuhan ‘standard operation prosedur (SOP)’ yang telah ditetapkan,” katanya ketika dihubungi.

Khairuddin yang merupakan Adun Senggarang juga berpendapat bahawa selain menjadi penghubung kepada masyarakat, Ahli Lembaga juga mampu dilibatkan untuk mengadakan aktiviti atau kempen kesedaran alam sekitar dengan diberikan peruntukan oleh pihak kerajaan.

Beliau juga menegaskan bahawa tindakan yang sebegitu mampu untuk menanamkan persepsi yang positif antara pusat pelupusan dan komuniti setempat.

“Tugas Ahli Lembaga juga akan tertakluk kepada melaksanakan kempen menjaga alam sekitar dengan kerjasama komuniti atau NGO setempat umpamanya dengan mengadakan gotong royong dan pendidikan kesedaran program kitar semula.

“Disarankan juga pusat pelupusan mampu mengadakan hari terbuka untuk membolehkan orang ramai hadir dan memahami kaedah atau cara pusat tersebut beroperasi serta menghubungkan masyarakat dan pengurusan pusat pelupusan.

“Ia akan membuatkan Ahli Lembaga Pelawat secara tidak langsung menjadi duta penghubung antara syarikat operator tapak pelupusan dengan masyarakat setempat. Maklumat dari masa ke semasa dilihat amatlah penting untuk komuniti setempat maklum,” katanya.

Khairuddin juga menyimpulkan bahawa pembentukkan ini adalah sangat sesuai dan relevan sebagai entiti semak dan imbang kepada syarikat serta operator pengurusan agar semua pusat pelupusan sampah di seluruh negara dipandang positif.