Malaysia Dateline

Ahli MKT Umno tuntut PM jelaskan autoriti MPN di bawah Mahiaddin

Berikutan dakwaan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin bahawa Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan beliau mempunyai kuasa penuh, pemimpin Umno menggesa perdana menteri menjelaskan autoriti majlis itu.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, Perdana Menteri wajar memaklumkan kepada rakyat, apa autoriti, bidang tugas dan term of referrence Majlis Pemulihan Negara?

“Penjelasan ini penting supaya tidak berlaku pertindihan, terkawal dan mudah memantau keberkesanan MPN,” kata beliau menerusi facebooknya.

Muhyiddin mendakwa, beliau mempunyai kuasa penuh untuk laksana terus dasar yang dipersetujui MPN kecuali kewangan.

Menurutnya, Perdana Menteri telah bersetuju mengenainya sebagaimana dilaporkan media hari ini.

Selain autoriti, kata bekas timbalan menteri itu, bidang tugas MPN perlu jelas.

“Jangan nanti MPN akan bulldoze semua dan wujud konflik dengan kementerian lain apatah lagi bidang tugas Perdana Menteri,” katanya.

Bagi beliau, isu “trust” pada MPN tetap ada.

“Dulu, masa Muhyiddin PM, dia Pengerusi MPN. MPN gagal. Sekarang PM orang lain.

“Semoga MPN efektif dan bukan untuk muslihat lain,” kata bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), badan propaganda di bawah kerajaan BN dahulu.