Malaysia Dateline

Ahli MPK serah baju raya percuma untuk masyarakat di Kluang

Ahli Majlis Perbandaran Kluang (MPK) , Dr Mohd Zuhan Mohd Zain hari ini mengadakan program memberi baju raya percuma kepada masyarakat khususnya yang memerlukan di kawasan Parlimen Kluang.

Menurut beliau, program ini diadakan bagi meringankan beban pihak yang memerlukan serta ia dijadikan sebagai suatu kebajikan kepada penduduk di kawasan parlimen berkenaan.

Beliau berkata, selain menyumbang kepada golongan yang memerlukan tersebut hubungan silaturrahim di antara penduduk dengan pemimpin masyarakat turut terjalin.

“Kita mengumpulkan baju-baju ini dari pelbagai sumber atau pihak dan kita memberikan kepada orang ramai khususnya kepada mereka yang memerlukan.

“Saban tahun kita mendengar terdapat golongan yang kurang berkemampuan menyambut hari raya tidak mampu membeli baju raya dan ini adalah inisiatif kami untuk membantu mereka.

“Selain baju atau pakaian, pihak kami turut menyumbang kasut serta peralatan yang lain kepada mereka seperti langsir rumah, cadar dan pelbagai lagi,” ujarnya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut perkara itu, beliau berkata selama ini pihaknya sentiasa peka mencari golongan yang kurang berkemampuan untuk dibantu.

Beliau berkata lagi, senarai golongan tersebut akan dipastikan setiap tahun menerima bantuan sama ada secara berkala atau bantuan dari segi servis kemudahan kepada golongan tersebut.

“Kita sentiasa berusaha mendapatkan maklumat golongan kurang berkemampuan untuk kita santuni dan ada di antara mereka yang kita salurkan kepada pihak-pihak berwajib bagi membantu mereka.

“Selain itu kita sentiasa mengadakan hubungan baik dengan ketua masyarakat bagi mendapat sumber nama-nama golongan tersebut,” ujarnya lagi.

Program tersebut turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi yang turut menyumbang baju kurung kepada penerima, ahli Parti AMANAH Kawasan Kluang serta Amal Relief Foundation (Arif) Kluang.