Ahli MT Umno kasihan PAS disisih Pakatan Harapan

Ahli MT Umno kasihan PAS disisih Pakatan Harapan

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Irmohizam Ibrahim kasihan melihat PAS disisihkan dari Pakatan Harapan ekoran apa yang berlaku di Selangor dan juga seluruh negara sekarang.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Irmohizam Ibrahim kasihan melihat PAS disisihkan dari Pakatan Harapan ekoran apa yang berlaku di Selangor dan juga seluruh negara sekarang.

Malah ujar beliau, kecenderungan pemimpin parti pembangkang untuk berpolemik dalam politik boleh menjejaskan usaha mereka membela nasib rakyat.

Irmohizam IbrahimIrmohizam berkata, parti pembangkang dilihat gagal membawa aspirasi dan ideologi yang berbeza di kalangan mereka di atas satu landasan di peringkat nasional.

“Selepas ketiadaan Pakatan Rakyat kemudian wujudnya Pakatan Harapan pemimpin mereka terus bermain polemik dalam berpolitik.

“Di Selangor misalnya, saya kasihan melihat PAS yang disisihkan dari Pakatan Harapan. Malah dalam Pakatan Harapan beberapa isu dimainkan dilihat tidak sekata dan sehala untuk membincangkannya di peringkat negeri mahupun nasional,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Menurut Irmohizam lagi, sejak Pilihan raya Umum ke-13 parti pembangkang masih lagi tidak memberi fokus kepada manifesto pilihan raya masing-masing untuk memenuhi aspirasi dan harapan rakyat yang mengundi mereka.

“Sejak PRU13 hingga kini pemimpin politik pembangkang penuh polemik dari Pakatan Rakyat hingga ke Pakatan Harapan.

“Saya fikir rakyat akan terus dihimpit dengan polemik politik ini dan selepas ini akan wujud perpecahan demi perpecahan lagi, akhirnya tidak membawa apa-apa makna kepada rakyat terhadap parti yang disokong mereka,” ujar Ahli Parlimen Kuala Selangor ini.

Dalam pada itu Irmohizam menyeru rakyat menganalisa sendiri parti-parti yang mereka sokong sama ada parti kerajaan atau pakatan pembangkang, agar parti itu dilihat lebih konsisten dan bersepadu dalam memperjuangkan kesejahteraan rakyat di atas landasan parti politik sebenarnya.

Kerjasama Umno- PAS

Pengarah Strategik kepada Presiden Umno ini juga berkata, walaupun Majlis Syura Ulamak PAS telah menetapkan pendirian untuk tidak menjalinkan kerjasama politik dengan Umno, kedua belah pihak boleh bersama membincangkan kepentingan agama, bangsa dan raja.

“Kita menghadapi ancaman persepsi yang menjadi punca akidah umat Islam dan masa depan orang Melayu semakin terhakis di kalangan pihak yang menjadikan agama sebagai punca segala permasalahan antara kaum.

“Walhal perkara berkaitan, agama, bangsa dan kepentingan Raja termaktub dalam perlembagaan Umno dan Persekutuan.

“Bagi Umno setiap apa yang terkandung dalam perlembagaan itu menjadi keutamaan sama ada perlu dibincangkan di peringkat negeri atau persekutuan yang menepati polisi dan dasar parti masing-masing.

“Keterbukaan Umno memandang ke hadapan perkara ini tidak boleh dikompromi. Jadi dari segi politiknya tiga perkara itu perlu menjadi perbincangan (Umno-PAS) untuk menjadikan kepentingan Islam sebagai ‘premis utama’ dibincangkan bersama,” jelasnya.

TAGS