Ahli PAC kesal pengerusi serah deklasifikasi laporan 1MDB pada k’jaan

Ahli PAC kesal pengerusi serah deklasifikasi laporan 1MDB pada k’jaan

Ahli-Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang mewakili pihak pembangkang kesal dengan tindakan Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin yang menyerahkan mandat untuk mendeklasifikasi laporan Ketua Audit Negara berhubung 1MDB kepada pihak eksekutif.

Menurut kenyataan bersama ahli jawatankuasa terbabit, mereka menyifatkan pendirian Hasan itu berbeza dengan permintaan Ketua Audit Negara dan kenyataan media yang dikeluarkan Hasan pada 7 Mac lalu bahawa laporan audit itu hanya perlu dirahsiakan sehingga pembentangan laporan PAC.

“Dalam mesyuarat PAC semalam, isu mengapa Laporan Ketua Audit Negara berkenaan 1MDB tidak dibentangkan kepada Parlimen telah dibincang.
 
“Ahli-ahli Parlimen PAC pembangkang yang hadir telah menegaskan bahawa Ketua Audit Negara hanya meminta Laporan Ketua Audit Negara dirahsiakan secara rasmi sehingga Laporan PAC dibentangkan.  

“Pendirian ini juga telah diakui oleh Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin dalam kenyataan media beliau pada 7 Mac 2016,” kenyataan media lima anggota PAC pembangkang itu dipetik.

Bagaimanapun dalam mesyuarat semalam, Hasan telah menyatakan pendirian bahawa hak untuk mendeklasifikasi Laporan Ketua Audit Negara adalah di pihak eksekutif kerajaan dan tidak dengan PAC.
 
Malah Hasan mengaku akan menulis surat kepada pihak eksekutif untuk  bertanya sama ada kerajaan akan mendeklasifikasi laporan tersebut.

Kenyataan media lima anggota PAC pembangkang itu ditandatangani Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw yang juga Timbalan Pengerusi PAC, Ahli Parlimen Teluk Kemang Datuk Kamarul Baharin, Ahli Parlimen Selayang William Leong, Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua.
 
Ahli-ahli PAC pembangkang berpendapat bahawa kuasa untuk membentangkan Laporan Ketua Audit Negara terletak di tangan PAC memandangkan sepanjang siasatan dilakukan, jawatankuasa tesebut telah memetik maklumat-maklumat daripada laporan audit tersebut.
 
“Apatah lagi, kami berpendapat bahawa tiada sebarang maklumat yang terkandung di dalam Laporan Ketua Audit Negara mempunyai unsur-unsur yang akan menjejaskan keselamatan negara yang perlu dirahsiakan,” tegas mereka.
 
Sehubungan itu, lima anggota PAC pembangkang tersebut amat menyesali pendirian Hasan yang telah melepaskan kuasa PAC kepada pihak eksekutif kerajaan sedangkan PAC adalah jawatankuasa parlimen yang bertanggungjawab untuk menjadi institusi semak dan imbang kepada kerajaan.

TAGS