Malaysia Dateline

Ahli Parlimen Bangi positif Covid-19

Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan di Kompleks Parlimen petang tadi.

Beliau memberitahu, kit ujian kendirinya menunjukkan keputusan positif dan ia kemudian disahkan dengan ujian Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR).

“Saya diuji negatif pada hari Rabu lalu di Parlimen. Tidak pasti siapa atau di mana saya mendapat kontak rapat,” ciapnya di Twitter.

Wakil rakyat DAP itu berkata, beliau tidak mempunyai sebarang gejala dan akan menjalani kuarantin di rumah dalam tempoh 10 hari ini.

“Saya akan maklumkan kontak rapat saya dalam tempoh satu jam ini atau lebih ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, Kian Ming berkata akan meluangkan tempoh masa dua minggu ini dalam menangani kes-kes di kawasan diwakilinya dan menulis beberapa kenyataan media.

Dalam masa sama, beliau berkata, masyarakat perlu menerima bahawa virus Covid-19 merupakan endemik yang bermaksud ia akan berterusan wujud seperti penyakit demam denggi.

“Protokol ujian (Covid-19) di Parlimen menunjukkan bahawa kita boleh bekerja dan beroperasi secara normal.

“Vaksin juga bermakna bahawa sebilangan besar kes Covid-19 di kalangan orang yang sudah lengkap vaksinasi tidak akan mempunyai gejala atau sangat sedikit gejala,” katanya menerusi bebenang di Twitter peribadi beliau.

Beliau menambah vaksinasi perlu digiatkan dalam kalangan mereka yang ragu-ragu terhadap vaksin dan juga warga asing yang tidak mempunyai dokumen serta golongan remaja.

Hari ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun membenarkan Ahli Parlimen menanggalkan pelitup muka ketika berucap.

Ong Kian Ming menjalani kuarantin di rumah dalam tempoh 10 hari.