Malaysia Dateline

Ahli Parlimen cadang Dewan Rakyat bersidang jam 2 petang berbanding 10 pagi

Ahli-ahli Parlimen mencadangkan agar persidangan Dewan Rakyat yang ketika ini bermula jam 10 pagi, dianjakkan kepada jam 2 petang.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata, cadangan tersebut disuarakan untuk mentransformasi perjalanan sidang parlimen bagi membolehkan barisan jemaah menteri menjalankan urusan pentadbiran masing-masing terlebih dahulu, sebelum menghadiri sidang Parlimen.

Tambah Johari lagi, beliau turut menerima cadangan lain iaitu menambah hari persidangan kepada 100 hingga 110 hari, selain melonggarkan etika pakaian seperti tidak perlu memakai tali leher.

Susulan cadangan itu, beliau berkata satu jawatankuasa akan dibentuk untuk melihat saranan yang dikemukakan ahli-ahli Parlimen.

“Insya-Allah sidang pertama penggal ini (Parlimen ke-15) akan berlaku (diadakan) pada Februari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.

Isnin lalu, Johari berkata Ahli Parlimen yang hadir pada hari kedua (Selasa) persidangan Dewan Rakyat dikecualikan daripada memakai tali leher.

“Cuma satu peringatan dan permintaan, ada cadangan untuk esok, mereka yang nak pakai sut saya kecualikan daripada memakai tali leher. Jadi boleh datang dengan baju Melayu ataupun dengan sut tetapi tanpa tali leher, ia adalah pilihan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan lebih lanjut sama ada perkara tersebut dibolehkan sepanjang persidangan Dewan Rakyat atau hanya dibolehkan untuk hari kedua sahaja.