Malaysia Dateline

Ahli Parlimen DAP makan tengah hari tanpa udang galah

Enam Ahli Parlimen DAP makan tengah hari tadi di kantin Parlimen dengan harga yang berpatutan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan secara sinis berkata, juadah nasi campur yang diambil mereka tanpa udang galah.

Turut serta Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi; Teo Nie Ching (Kulai); Gobind Singh Deo (Puchong); Steven Sim Chee Keong (Bukit Mertajam) dan Chong Chieng Jen ( Stampin).

“Makan tengah hari di kantin Parlimen tadi. Harga berpatutan, RM34 untuk nasi campur bersekali minuman bersama lima orang rakan-rakan yang lain,” kata bekas Menteri Kewangan itu.

Hantaran Guan Eng di Facebook lengkap foto yang dilihat masing-masing ceria itu juga disertakan tagar (tanda pagar) #TakAdaUdangGalah.

Sebelum ini gempar isu hidangan istimewa di bilik Ketua Whip Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dikatakan menelan belanja sehingga RM10,000 tajaan kementerian dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran pada sidang media di Parlimen semalam berkata, hidangan istimewa itu bermula 13 Julai hingga 27 Ogos ini.

Menurutnya, antara kementerian dan GLC yang menaja jamuan itu ialah Kementerian Kewangan, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Majlis Amanah Raya (Mara), Tekun, Prasarana, Felda dan MPOB (Malaysia Palm Oil Board).

Jamuan besar kerajaan dikecam ketika ekonomi rakyat sedang bergelut dengan impak Covid-19.