Malaysia Dateline

Ahli Parlimen diseru nyatakan pendirian isu Kashmir

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyeru semua 222 ahli parlimen negara ini supaya bersatu dan bangkit bagi menyatakan pendirian menyokong perjuangan Kashmir.

Menurut Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid, ahli parlimen Malaysia tidak harus bersikap sepi dan tidak peduli terhadap apa yang sedang berlaku di Kashmir.

Malah katanya, pihak India dibawah pentadbiran kerajaan BJP kini sedang melakukan penindasan yang sangat parah ke atas 6 juta warga Kashmir.

Azmi Abdul Hamid

“Dalam operasi yang dijalankan ratusan warga Kashmir terbunuh dan cedera.

“Kashmir merupakan wilayah paling padat dengan anggota tentera yang ditempatkan oleh India.

“Kashmir berisiko berdepan dengan operasi Genocide atau Holocaust terbesar di abad ini, ” jelasnya.

Beliau juga berkata, warga Kashmir kini berada dalam kepungan tentera India dengan arahan berkurung 24 jam telah berjalan hampir sebulan sehinggakan semua komunikasi ditutup termasuk internet dan telefon bimbit.

Tegasnya lagi, akibat dari itu, warga Kashmir terputus bekalan makanan dan ubat-ubatan kerana tentera mengepung Kashmir secara total.

“India telah melanggar ketetapan Majlis Keselamatan PBB iaitu Kashmir adalah wilayah yang dipertikaikan.

“Mereka tidak boleh membuat keputusan secara unilateral terhadap status Kashmir tanpa konsultasi dengan warga Kashmir.

“Penindasan keatas Jammu, Kashmir oleh tentera India telah lama berlarutan sejak 1947 lagi serta dianggarkan 300,000 warga Kashmir telah terbunuh sejak tentera India dihantar ke wilayah tersebut pada 26 Oktober 1947, ” ujarnya.

Tambah Mohd Azmi, semenjak kes penangkapan, penyiksaan dan pencabulan terus berlaku keatas warga Kashmir, puluhan ribu kini buta kerana ditembak dengan senapang pelet termasuk lebih 20,000 wanita kehilangan suami serta lebih 10,000 kanak-kanak menjadi yatim.

Katanya lagi, lebih 10,000 wanita diperkosa, 13,000 pemuda dipenjarakan dan ratusan aktivis politik kini ditahan dan menghadapi penyiksaan.

Sehubungan itu keluhnya, adalah amat malang apabila dunia tidak mengambil peduli terhadap nasib Kashmir sehingga kini.

“Mapim dengan ini menggesa semua ahli parlimen negara ini supaya segera menyatakan sikap dan pendirian terhadap kes pelanggaran hak manusia dan undang-undang antarabangsa oleh India terhadap Kashmir.

“Mereka yang bertanggungjawab melakukan keganasan terhadap warga Kashmir mesti dibawa ke muka pengadilan tanpa lengah.

“Memorandum khas dari anggota parlimen Malaysia perlu dihantar kepada Pesuruhjaya Tinggi India di Kuala Lumpur, ” sarannya.

Kata beliau, ahli parlimen perlu menggunakan semua saluran antarabangsa supaya penindasan terhadap Kashmir dapat dihentikan dan mengambil inisiatif membincang dan bertindak untuk menyelamatkan warga Kashmir yang sedang ditindas.

“Semua saluran antarabangsa termasuk diplomatik, kempen antarabangsa, menganjurkan perhimpunan solidariti, menghantar surat menyokong perjuangan Kashmir adalah antara tindakan yang boleh dilaksanakan oleh ahli parlimen negara ini.

“Lebih mendesak lagi ialah bagi mengelakkan peperangan nuklear antara India dan Pakistan.

“Ahli parlimen negara ini perlu menunjukkan sikap dan pendirian menegakkan kebenaran dan keadilan membabitkan konflik di Kashmir, ” katanya.

Ujarnya, beberapa ahli parlimen di United Kingdom telah pun menyatakan pendirian mendesak Perdana Menteri India, Narendra Modi supaya segera menghentikan polisi ganasnya terhadap Kashmir.

“Agensi antarabangsa seperti PBB, OIC, Amnesty International serta Human Rights Watch telah pun menyatakan kecaman terhadap India serta situasi terkini yang tegang di Kashmir.

“Adalah amat mengecewakan sekiranya ahli parlimen negara ini mendiamkan diri dan tidak bertindak untuk menyelamatkan Kashmir.

“Potensi perang nuklear berlaku tidak dapat dinafikan sekiranya penyelesaian yang sepatutnya tidak dicapai dengan segera, ” kata Mohd Azmi.