Malaysia Dateline

Ahli Parlimen gesa SPRM siasat penglibatan DBKL dalam projek lebuh raya Bangsar

Dua ahli Parlimen Pakatan Harapan menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja Malaysia (SPRM) menyiasat projek lebuh raya yang dibantah beberapa kumpulan penduduk, 5 bulan selepas membuat laporan kepada badan anti-rasuah itu.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil juga mempersoalkan kenapa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendanai Lebuh Raya Bangsar-Damansara, dan menambah tiada tender terbuka.

Lebuh raya tiga lorong itu dari Jalan Semantan di Damansara ke simpang Lebuh Raya SPRINT dengan Jalan Maarof di Bangsar.

 Pihak berkuasa berkata ia akan mengurangkan perjalanan dari Bangsar ke Pusat Bandar Damansara, tetapi penduduk berkata ia hanya akan menjadikan kesesakan lalu lintas di kawasan itu lebih teruk.

Kedua-dua ahli Parlimen itu berkata mereka dimaklumkan kerja-kerja pembinaan baru saja bermula.

Mereka mempersoalkan kenapa DBKL membelanjakan RM100 juta, hampir separuh daripada kos projek RM211.5 juta.

Impian Ekspresi Sdn Bhd mendanai baki RM111.5 juta.

“Kami sangat bimbang dana awam yang sebegitu banyak dibelanjakan DBKL dekat dengan projek pembangunan swasta yang tidak dibuat secara tender terbuka.

“Kami mengulangi seruan kami kepada SPRM supaya menyiasat dan menyediakan perkembangan terkini dapatan mereka kepada penduduk,” kata mereka seperti dipetik laporan FMT hari ini.

 Pada awal 2018, menteri wilayah persekutuan ketika itu, Tengku Adnan Tengku Mansor berkata projek itu dijadualkan siap pada Jun 2020.

Penasihat Persatuan Penduduk Bukit Bandaraya, M Ali mendakwa tiada kajian holistik dijalankan ke atas projek itu.

“Perancang mesti perhatikan kawasan itu secara keseluruhan dan bukan secara berasingan,” kata Ali pada Mei tahun lepas.

“Apa yang kita lihat sekarang DBKL dan pemaju nampak seperti menyelesaikan masalah itu dengan mengalihkan kesesakan dari satu kawasan ke kawasan lain,” katanya.