Ahli Parlimen Kuching sah dijangkiti Covid-19

Ahli Parlimen Kuching sah dijangkiti Covid-19

Tanpa menunjukkan sebarang gejala virus sejak dua minggu lalu bahkan tiada demam, Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii disahkan positif Covid-19.

Wakil rakyat DAP tersebut pada masa ini dikuarantin di Hospital Umum Sarawak.

Terdahulu, Yii, 34, memberitahu, beliau dan Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, 49, telah melakukan ujian saringan.

Bagaimanapun, Chong disahkan bebas daripada jangkitan virus berbahaya itu.

“Jabatan Kesihatan malam tadi mengeluarkan keputusan ujian Covid-19 yang dijalankan ke atas saya dan Chong, yang mana menunjukkan Chong negatif untuk virus itu, tetapi saya pula positif Covid-19.

“Saya kemudian dimasukkan ke Hospital Sarawak lewat malam tadi untuk pemantauan mengikut prosedur standard yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya di Facebook beliau hari ini.

Yii, mendakwa beliau kini dalam keadaan stabil selepas Jabatan Kesihatan Sarawak mengeluarkan keputusan ujiannya malam tadi.

Pada 2 Mac lalu, Yii pernah berurusan dengan Ahli Parlimen Sarikei, Wong Ling Biu yang positif wabak berkenaan dan kini dirawat di Hospital Sibu.

Semalam, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg mengesahkan Jabatan Kesihatan negeri sedang memantau rapi keadaan Ling Biu.

Anak Ling Biu yang juga atlet kebangsaan, Jackie Wong, turut dirawat di hospital sama selepas diuji positif Covid-19.

Dalam perkembangan berkaitan, Sarawak mencatatkan lapan kes baharu positif Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan disahkan dijangkiti wabak itu setakat ini sebanyak 42 kes.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak 502 sampel diambil daripada individu dalam siasatan (PUI) dengan 35 kes baharu, hari ini.

Daripada jumlah itu, 263 diuji negatif manakala 204 lagi masih menunggu keputusan ujian makmal.