Malaysia Dateline

Ahli Parlimen Lubok Antu isytihar jadi bebas sokong PN

Ahli Parlimen Lubok Antu Tambat @ Jugak anak Muyang mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan kekal menjadi ahli parlimen bebas yang menyokong penuh kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta kerajaan GPS di negeri Sarawak.

“Saya berikrar menyokong penuh kerajaan Perikatan Nasional yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin dan GPS yang diketuai Datuk Patinggi Abang Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Katanya, sokongan kepada PN adalah demi kesejahteraan dan pembangunan rakyat di Parlimen Lubok Antu.

“Saya telah berbincang dengan penyokong saya dan mereka bersetuju agar saya menyokong PN demi rakyat saya di Lubok Antu,” ujarnya.

Menurut beliau, kawasannya merupakan kawasan luar bandar dan memerlukan bantuan serta sokongan kerajaan untuk pembangunan.

“Saya berasa kesal apabila berlaku permasalahan dalaman antara parti-parti dalam kerajaan Pakatan Harapan dan Perdana Menteri ketika itu meletakkan jawatan mengakibatkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang,” katanya.

Terdahulu, Tambat telah bertanding atas tiket bebas pada PRU14, selepas menang beliau menyertai PKR iaitu salah sebuah parti yang berjaya membentuk kerajaan Pakatan Harapan.