Malaysia Dateline

Ahli Parlimen Parit Buntar teruskan agenda peduli rakyat

Dr Mujahid menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada pesakit Mohd Yani Zainol Abidin.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa meneruskan agenda peduli rakyat melalui aktiviti ziarah dan menyampaikan sumbangan kepada penduduk yang memerlukan.

Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, aktiviti ziarah kali ini melibatkan penyampaian sumbangan dua buah kerusi roda dan barangan keperluan di Kampung Parit Tok Ngah Darat, Parit Haji Wahab dan Parit Sungai Burung.

“Ia adalah antara aktiviti rutin saya sebagai wakil rakyat untuk terus memberikan perkhidmatan kepada rakyat walau apa keadaan sekali pun kerana ia adalah amanah.

“Sebelum ini pun semasa memegang jawatan menteri, aktiviti ini tetap saya lakukan setiap kali berada di Parit Buntar, “ katanya

Beliau berkata, pihaknya menyampaikan kerusi roda yang baru kepada seorang pesakit Norsiah Shuib di Parit Sungai Burung, Tanjung Piandang.

“Kami mengantikan kerusi roda lama yang rosak dan tidak selamat bagi memudahkan pergerakan harian puan Norsiah di rumah dan hospital.

“Sumbangan kerusi roda ini turut diberikan kepada Mohd Yani Zainol Abidin di Parit Tok Ngah Darat bagi memudahkan kegunaan harian beliau di rumah” katanya

Ahli Parlimen Parit Buntar itu turut menziarahi keluarga Ahmad Sabri Abdullah yang di timpa kemalangan jalanraya pada hari khamis lalu di Parit Haji Wahab,Tanjung Piandang.

“Alhamdulillah beliau dan Isteri bersama anak-anak selamat dan telah di benarkan pulang oleh pihak hospital.

“Saya juga menyampaikan sedikit sumbangan kepada beliau bagi meringankan bebanan beliau sekeluarga” katanya

Aktiviti ziarah dan penyampaian sumbangan ini melibatkan beberapa buah rumah pesakit di tiga buah kampung terlibat .

Turut serta dalam aktiviti ziarah ialah Penyelaras Dun Titi Serong, Mohd Adnan Razali, Penyelaras Dun Kuala Kurau, Hamdan Fadel Ahmad dan Ketua Pemuda AMANAH Parit Buntar, Muhamad Nakhaie Abd Wahab.