Ahli Parlimen Pas dakwa Menu Rahmah undang kanser dan autisme, ibu bapa ‘anak autisme’ tersinggung

Oleh KIM SYAZIE

Ahli Parlimen Kapar, Dr. Halimah Ali berdepan dengan kritikan hebat apabila mendakwa Menu Rahmah yang ditawarkan peniaga boleh mengundang penyakit.

Menurut Halimah ada peniaga yang menyertai program itu bertindak menyediakan makanan daripada bahan mentah yang tidak berkualiti.

Oleh yang demikian, situasi tersebut menyebabkan rakyat terdedah dengan ancaman penyakit khususnya kanser dan autisme.

Dakwaan Halimah itu dibuat ketika menyertai perbahasan di Dewan Rakyat semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 baru-baru ini.

“Saya tidak ada masalah dengan istilah Rahmah atau apa tetapi jangan sampai rakyat marhaen B40 diberikan bekalan makanan yang berkualiti rendah.

“(Hal ini) mungkin juga menyebabkan mereka terdedah kepada kanser, penyakit autoimmune, kepada autisme dan sebagainya,” katanya.

Rata-rata pengguna media sosial hairan bagaimana Halimah yang merupakan doktor perubatan boleh mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas.

Ibu bapa yang mempunyai anak penghidap penyakit autisme turut tampil meluahkan rasa tidak puas hati dengan tuduhan terbabit.

“Sebagai ibu bapa autisme, saya terkejut dengan dakwaannya. Autisme bukanlah sejenis penyakit akibat salah pemakanan.

“Ia adalah perbezaan neurologi sepanjang hayat yang memerlukan penerimaan dan pemahaman,” kata Dr. Zaid Omar.

“Sebagai seorang ibu kepada anak perempuan spektrum (autisme), wanita ini sangat menyinggung perasaan saya,” kata pengguna lain.

Baca juga: Jual popia kosong berintikan 2 urat tauge, pembeli perli ‘nak pergi haji balik hari’