Malaysia Dateline

Ahli Parlimen PH tidak berminat laksanakan GST semula

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chieng Jen yakin dan positif bahawa hampir semua Ahli Parlimen PH tidak bersetuju untuk memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Ini kerana, menurut beliau, GST merupakan salah satu daripada manifesto PH pada Pilihan raya Umum ke-13 lalu sekali gus atas kehendak rakyat di negara ini untuk menghapuskan sistem berkenaan.

“Saya pasti tidak ada permintaan daripada rakyat untuk memperkenalkan GST semula,” jelas beliau ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat DAP di Kuching hari ini.

Chong yang juga merangkap Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK) berkata, pengurangan dalam kutipan pendapatan cukai sebanyak RM23 bilion yang direkodkan kerajaan adalah disebabkan pemansuhan GST yang mana rakyat tidak dibebankan dengan membayar cukai.

“Justeru apabila rakyat membayar kurang cukai di bawah cukai jualan dan perkhidmatan (SST), kutipan pendapatan cukai kerajaan adalah lebih rendah.

“Pendapatan cukai di bawah SST adalah rendah, tetapi itu yang rakyat mahukan dan adakah anda mahu membayar lebih cukai? Saya rasa tidak,” tegasnya.

Beliau menambah, jika Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) mahu memperkenalkan semula GST, ada 19 Ahli Parlimen GPS di Parlimen dan mereka ada kebebasan untuk menyokong pelaksanaan GST dalam bahas mereka di parlimen.

“Nanti kita akan lihat jika mereka mendapat majoriti atau tidak. Ahli Parlimen PH ternyata tidak akan memihak untuk memperkenalkan semula GST,” katanya.