Malaysia Dateline

Ahli Parlimen PH tidak terima bakul makanan JKM

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menggesa Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) supaya segera memperbaiki sistem pengagihan bakul makanan tanpa melakukan pemberian terpilih.

Memasuki fasa ketiga dan minggu keempat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Hannah berkata, 1,000 bakul makanan dijanjikan kerajaan untuk diagihkan kepada rakyat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke kawasan Parlimen, tidak berjalan seperti diharapkan.

Menurut Hannah lagi, sehingga kenyataan ini ditulis, terdapat sekurang-kurangnya 54 kawasan Parlimen pembangkang yang masih belum menerima sebarang bantuan tersebut.

“Kelewatan pengagihan bakul makanan ke kawasan Parlimen pihak pembangkang akan memberi kesan kepada keluarga kumpulan B40 terutama apabila kita kini memasuki minggu keempat PKP.

“Menteri KPWKM perlu bersedia untuk mengurus bantuan ini secara lebih adil andai PKP ini bersambung ke fasa yang seterusnya.

“Segera baiki sistem pengagihan bakul makanan ini tanpa melakukan pemberian terpilih dan tidak mengambil kesempatan di atas kerja keras warga JKM serta menjadikan mereka dalam keadaan serba salah, sedangkan rakyat dalam kesusahan ketika tempoh PKP ini,” bidasnya menerusi satu kenyataan hari ini.